Wednesday, June 30, 2010


Pada 1 Januari 2010 harga gula telah dinaikkan sebanyak 20 sen satu kilogram ke RM1.65 di Semenanjung Malaysia dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak. Tetapi setelah harga telah dinaikkan 20 sen, hampir satu Malaysia tiada gula. Kenapa ianya berlaku sedemikian? Adakah kerajaan tiada duit untuk membayar RM1.008 Billion subsidi gula untuk tahun ini?

Jika kerajaan tidak membayar subsidi dan harga gula tidak boleh dinaikkan, dimanakah pekilang hendak menjual gula?. Apabila menjual gula di dalam Malaysia tanpa subsidi pekilang akan mengalami kerugian tetapi peruncit dan pemborong tidak akan mengalami kerugian.

Adakah pekilang terpaksa menjual gula ke Thailand kerana harga gula di sana RM 2.50, atau ke Singapura iaitu RM3.05 atau ke Indonesia kerana harga di sana RM3.40 atau tidak pun ke Filipina, negara pengeluar tebu utama dunia kerana harga di sana RM3.62? Atau pekilang sedang mogok? Fikir fikirkanlah.

Berikut ialah krisis gula yang sedang berlaku di dalam Negara.

KUALA LUMPUR: Peniaga runcit sekitar ibu negara masih menghadapi kesukaran mendapatkan stok gula dan mengambil tindakan mencatu jualan barang kawalan berkenaan walaupun Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (PPPBRM) sudah menamatkan boikot jualan barangan kawalan itu.

Tinjauan Berita Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar ibu negara mendapati, tidak banyak perubahan berlaku terhadap masalah kekurangan gula berikutan peniaga masih sukar memperoleh barang kawalan berkenaan daripada pemborong.

Peniaga barangan runcit, Ganesan Muniandy mendakwa masalah kekurangan gula masih berlaku di premisnya setakat ini dan pengguna masih merungut kerana sukar membeli bahan itu.

“Saya sudah minta stok gula dari tiga pemborong, tetapi masing-masing berkata bekalan gula tidak cukup dan saya tidak tahu bila kedai ini boleh menjual gula seperti sedia kala,” katanya.

Penyelia pasar raya KK Supermart, Mohan Dev, berkata pemborong mengenakan syarat supaya membeli barangan lain sebagai pakej mendapatkan gula.

“Jika beli beras, baru kami boleh mendapatkan gula dan bekalan datang sekali dalam sebulan saja, sedangkan permintaan dari pengguna sangat tinggi terutama pengusaha makanan,” katanya.

Pemilik kedai runcit, Abdullah Abu Bakar, berkata kali terakhir kedainya mendapat stok gula pada seminggu lalu dan pemborong hanya membekalkan 20 kilogram gula dan ia habis dijual dalam setengah hari saja.
Penolong Penyelia Pasar Raya Sri Kota, Raymond Gan, berkata pengguna masih boleh mendapatkan gula di premis berkenaan tetapi penjualannya dihadkan dua kilogram untuk seorang pembeli.

Sementara itu, pemilik Pasar Raya Metamorf, Nazilah Rahiman, mahu kerajaan memainkan peranan proaktif dalam menyelesaikan masalah kekurangan gula dengan menyediakan pusat pemborong barangan kawalan.

“Masalah ini akan menjadi lebih rumit terutama menjelang Ramadan akan datang kerana permintaan gula akan meningkat secara drastik,” katanya.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, masalah sama turut berlaku apabila kebanyakan kedai runcit di sekitar bandar raya ini tiada bekalan gula kerana mendakwa tidak dihantar pembekal.

Kebanyakan peniaga mendakwa bekalan gula semakin kritikal sejak dua minggu lalu dan jika menerima bekalan, ia hanya sedikit dan habis dijual tempoh singkat.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd Hilmi Mohd Noor, berkata masalah keputusan bekalan gula berlaku disebabkan orang ramai membuat belian panik, sekali gus menyebabkan pengguna lain tidak dapat membeli bahan berkenaan.

Di GEORGETOWN, peniaga kedai runcit turut mendakwa menghadapi masalah mendapat bekalan gula sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Ahmad Nordin, pemilik OPK Nordin Store di Pulau Tikus, berkata beliau hanya mendapat bekalan 24 kilogram sehari berbanding 48 kilogram sebelum ini.

Makanan proses atau lebih mudah dipanggil makanan segera kurang baik untuk kesihatan. Ini kerana ia mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap diambil, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan.

Tanpa disedari, ia akan mendedahkan seseorang kepada pelbagai penyakit. Antaranya ialah kerosakan gigi, sembelit, obesiti dan tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.
Apakah makanan proses atau manakan segera ini? Makanan proses atau segera adalah komponen makanan yang boleh dimakan terus tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu. la mungkin makanan dalam tin, makanan berasaskan corak pemakanan barat seperti burger dan hot dog, makanan sejuk beku dan sebagainya.

Keperluan kepada makanan segera begini semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa. Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan. Lagi pun makanan segera begini cukup mudah untuk diperolehi . Kunjungi sahaja mana-mana restoran 'fast food', pesan makanan yang digemari dan tidak sampai lima minit hidangan akan sampai terus ke meja.

Bagi makanan dalam tin atau sejuk beku pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, makanan itu dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap. Dalam masa tidak sampai dua minit, makanan boleh terus dijamah. Berbeza dengan cara biasa yang selalu dilakukan, kita mengambil masa tidak kurang setengah jam untuk mulai menanak nasi, menumbuk sambal dan menggoreng ikan.

Makanan segera banyak aditif
Salah satu sebab mengapa makanan segera kurang baik untuk kesihatan ialah kerana kandungan aditifnya yang berlebihan. Aditif adalah bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan dan ubat-ubatan bagi tujuan meningkatkan kualiti, menambahkan keenakan dan memantapkan kesegaran. Penggunaan aditif sebenarnya bermula sejak ratusan tahun lalu. Aditif yang bertindak sebagai pewarna telah digunakan untuk memberi warna kuning kepada mentega sejak kurun ke-14 lagi.

Contoh lain aditif ialah bahan-bahan campuran yang diberi nama huruf awal "E", seperti E101 (Riboflavin), E123 (Amaranth), E211 (Natrium Benzoate), E249 (Kalium Nitrit), E322 (Lesitin) dan sebagainya. Selain itu, makanan segera ini lazimnya banyak mengandungi perasa seperti monosodium glutamate (MSG). Pada asalnya, bahan ini diasingkan daripada sejenis rumpai laut. Sekarang MSG boleh diperoleh daripada kanji, gula, jagung, tebu atau lobak bit. Kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan MSG adalah pelbagai. Tanda-tanda sindrom ini termasuk panas badan di bahagian tengkuk dan belakang tubuh, serta perasaan tertekan di bahagian dada dan muka. Walaupun demikian, kajian saintifik gagal membuktikan bahawa kesemua gangguan-gangguan ini disebabkan secara langsung oleh MSG. Sebaliknya kajian tersebut mendapati kesan sampingan buruk hanya dialami segelintir pengguna yang alah terhadap MSG. Justeru itu MSG tetap dianggap selamat dan sesuai digunakan sebagai aditif makanan.




Lemak Berlebihan
Selain itu, makanan segera sangat terkenal dengan kandungan lemaknya yang berlebihan. Sebagai contoh, sebiji burger mengandungi sebanyak 35% atau mungkin lebih lemak. Manakala, kentang goreng dikatakan lebih baik dari segi khasiat daripada ban yang diperbuat daripada tepung putih halus tetapi ia direndam dalam lemak, biasanya lemak tepu yang menggalakkan penyakit jantung di antara 11 dan 16 g lemak. Bagi keju yang dihiaskan di atas makanan, ia bermakna lebih banyak lemak. Malahan ia bukanlah keju sebenar tetapi cebisan-cebisan keju bercampur garam, gula, pengemuisi, asid laktik, pengawet, pewarna dan bahan penambah lain. Lemak dan garam yang berlebihan pula boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengannya.

Tiada Zat
Ramai yang tidak menyedari bahawa makanan segera hanya mengandungi hanya sedikit kalori dan tiada zat. la mampu mengenyangkan perut dan memberi bahan bakar untuk digunakan oleh tubuh. Bagi kanak-kanak, pengambilan kalori kosong sebagai makanan snek boleh menyebabkan kurang selera terhadap makanan lain yang mempunyai khasiat yang banyak dan sangat diperlukan oleh badan. Kanak-kanak perlu dielakkan memakan makanan yang manis seperti kek, gula-gula dan air sirap, air berkarbonat kerana ia tidak mengandungi kalori. Makanan begini hanya mengisi ruang perut mereka sahaja dan ini menyebabkan mereka menolak manakan berkhasiat lain.

Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:

Burger daging:
Mengandungi 4 gram lemak tulen. la membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.

Ayam goreng:
Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperoleh dari lemak). Banyak garam. la membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.

Kentang goreng:
Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.

Susu kocak;
Susu ini bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemuisi. la juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.

Minuman berasaskan Kola:
Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula. Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanannya kosong.

Garam
Secara purata seseorang itu memeriukan tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji burger boleh mengandungi dua hingga tiga gram garam.

Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Bahan pemanis berkalori rendah aspartam, pernah dilaporkan membawa kesan sampingan mudarat
kepada pengguna. Tetapi pemerhatian berterusan pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat selama lebih sepuluh tahun gagal memperoleh bukti kukuh tentang kesan bahaya bahan ini. Demikian juga halnya dengan sesetengah aditif makanan yang dicampurkan ke dalam makanan ringan untuk kanak-kanak dan remaja.

Serat
Serat terkandung di dalam buah-.buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. la juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses dan ia hampir tidak mengandungi serat. Serat tidak terdapat di dalam burger ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad sahaja yang mengandungi sedikit serat.

Vitamin dan zat galian
Jangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan susu, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun, kandungan semua zat pemakanan ini tidak mencukupi dan terlalu sedikit.

Kesimpulannya, makanan segera bukanlah pilihan makanan yang terbaik kerana kandungannya yang tidak berkhasiat. Sebaliknya, kita semua digalakkan memakan makanan yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak lama. Ini lebih menyihatkan dan baik untuk kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.

Dipetik daripada http://www.kkk.org.my

Friday, June 18, 2010



Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan mengenai makanan halal yg dicampuri babi. Kes yang hangat diperkatakan sekarang ini ialah makanan yang halal seperti bebola ikan, kek ikan dan lain-lain yang dicampur aduk bersama makanan berasaskan daging babi. Walaupun begitu, pihak yang bertanggungjawab telah menyerbu kilang tersebut atas aduan para pengguna. Ini menyebabkan masyarakat mulai ragu akan makanan sama ada dikhuatiri dicampuri babi ataupun tidak. Oleh itu, gunakan kuasa anda sebagai pengguna jika berlaku sebarang keraguan yang timbul kepada makanan, barangan, perkhidmatan dan sebagainya. Ikuti sisipan berita mengenai kes daging babi tersebut.

KL: JUN 11, 2010: Sebahagian besar pekerjanya memakai baju bertanda logo halal, namun amat mengejutkan apabila sebuah syarikat pengeluar makanan dikesan turut menjual produk berasaskan daging babi. Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar.

Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu.

Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah.

“Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.

“Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim.

“Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain,” katanya.

Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan ‘pork ball’ atau bebola babi.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan ‘pork ball’ yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar,” katanya.

Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim. “Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal. “Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam,” katanya.

Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam. “Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi,” katanya.

(Sumber mStar online/AK)

Tuesday, June 8, 2010


Malaysia menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara sambil menerangkannya kepada rakyat berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Subsidi kini merupakan 54 peratus daripada KDNK negara.

Namun semua cadangan pengurangan subsidi berkenaan belum dilulus atau dipersetujui oleh kerajaan.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Greece, akhirnya," kata Indris merujuk kepada ahli Kesatuan Eropah itu yang hutangnya menyebabkan ketidak-tentuan pasaran antarabangsa.

Rasionalisasi subsidi untuk pertumbuhan nyata

Malaysia membelanjakan 15.3 peratus daripada perbelanjaan persekutuan bagi menampung subsidi pada bajet 2009 yang menyaksikan defisit berada pada peringkat tertingginya dalam dua puluh tahun.

Katanya, Malaysia perlu merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomi, selain menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan.

Menurut Idris, Malaysia juga perlu mengikuti perkembangan terkini arah aliran pengurangan subsidi global.

"Bayangkan, rakyat Somalia sendiri kena bayar harga yang lebih tinggi untuk petrol berbanding rakyat Malaysia," katanya pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Makmal itu yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang hari ini, dilangsungkan bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.

Idris berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan 2009, adalah pada 11 peratus.

Ia, katanya, hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD seperti Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD seperti Switzerland.

"Bil subsidi kerajaan tidak berkekalan, terutama berdasarkan defisit bajet dan hutang kerajaan yang semakin meningkat. Ia lebih tinggi berbanding Indonesia pada 28 peratus dan semakin menghampiri Filipina pada 62 peratus," katanya.

Kaya juga dapat subsidi

Menurut Idris, budaya subsidi mempunyai kesan negatif, dengan subsidi kerap dinikmati mereka yang tidak berhak selain tertakluk kepada ketirisan dan penyalahgunaan dan pada masa yang sama menggalakkan gangguan pasaran selain menggalakkan penggunaan berlebihan hasil daripada lebihan pengeluaran.

Beliau berkata, kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia diagihkan secara asas "menyeluruh".

"Ia diberi kepada setiap orang tanpa mengira paras pendapatan, sebagai contoh, memberi subsidi untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perkhidmatan perubatan, petrol, gula dan minyak masak, selain bantuan kebajikan dan elaun," katanya.

Kerajaan, dalam kerangka kerja merasionalisasikan subsidi, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol dan pada masa yang sama meneruskan subsidi pendidikan, sebagai pelaburan modal insan.

Usaha akan dibuat bagi mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan.

Menurut sumber yang dipetik Reuters, jemaah menteri pada Rabu lalu membincangkan cadangan pengurangan subsidi berkenaan tetapi tiada keputusan dibuat.

Berikut adalah antara 7 langkah mudah dalam menguruskan penggunaan wang anda dalam keadaan terbaik ketika berbelanja.

1: Berbelanja Secara Tunai Sahaja!
Amalan yang terbaik ketika hendak berbelanja adalah dengan menjauhi kad kredit. Anda tidak akan terlebih berbelanja sekiranya anda tidak membawa bersama kad kredit semasa membeli-belah. Tinggalkan sahaja ia di rumah dan jangan sekali-kali membawanya bersama di dalam beg duit ataupun beg tangan. Jika ia bersama anda, kebarangkalian anda untuk swipe adalah tinggi! Faktor anda tidak nampak duit anda keluar ketika membayar inilah yang seringkali menyebabkan anda terlebih dalam berbelanja tanpa anda sedari.

2: Tetapkan Matlamat Jangka Panjang!
Jika anda inginkan kebebasan kewangan dalam jangka masa yang panjang, tetapkanlah satu matlamat di mana anda akan selalu diingatkan untuk tidak berbelanja sesuka hati demi mengejar impian tersebut. Sebagai contoh, anda ingin bebas kewangan dalam masa 5 tahun sahaja lagi, tuliskan matlamat tersebut di atas kertas dan tetapkan satu tarikh berserta jumlah simpanan yang anda inginkan. Letakkan matlamat tersebut di tempat yang anda mudah nampak seperti cermin, peti ais, meja pejabat dan sebagainya. Matlamat ini akan menjadi pengawal kepada tingkah laku anda untuk berbelanja. Baca matlamat ini setiap hari.

3: Bezakan Antara Keperluan Dan Kehendak!
Adakah beg tangan atau kasut baru menjadi tarikan kepada anda semata-mata atau anda betul-betul memerlukannya? Sebelum anda membuat sebarang keputusan untuk memiliki beg tangan atau kasut baru tersebut, lebih baik anda berfikir seketika. Jika ia adalah keperluan dan berada dalam lingkungan bajet anda, teruskan untuk membuat pembelian. Jika ia hanyalah kehendak anda, fikirkanlah kesan selepas anda membuat pembeliannya. Adakah anda gembira jika dapat memilikinya ataupun anda sekadar ingin penuhkan wardrob. Atau adakah anda betul-betul mampu untuk memilikinya? Sekiranya masih ada lagi keperluan lain yang perlu dipenuhi, pertimbangkanlah untuk memiliki beg tangan ataupun kasut baru itu tadi. Perkara paling utama dalam berbelanja adalah anda perlu jujur kepada diri sendiri dan berani untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang tidak mendesak anda untuk memilikinya buat masa sekarang.

4: Berbelanjalah Dengan Senarai Perkara Yang Diperlukan!
Perkara yang paling mudah dan selalunya diabaikan ketika ke luar berbelanja adalah dengan menulis senarai barangan yang diperlukan. Bila kita tidak mempunyai senarai barangan yang diperlukan, daripada ingin membeli satu barang sahaja maka tanpa disedari kita sudah terlebih berbelanja. Mula-mula nak beli lampin anak, jalan selangkah ada tawaran syampu, promosi kopi, tudung murah dan sebagainya. Akhirnya daripada membeli lampin sahaja, beg plastik yang ringan menjadi berat. Tetapkan apa barangan yang perlu dibeli sahaja, jika anda tergoda untuk membeli selain daripada senarai, masukkan barangan tersebut dalam senarai pembelian yang akan datang.

5: Berikan Peruntukan Untuk Diri Anda Sendiri!
Memang tidak dapat dinafikan sama sekali sifat setiap individu inginkan sesuatu yang baru selepas penat lelah bekerja selama sebulan. Lihat kembali kepada bajet anda, fikirkanlah berapa banyakkah yang mampu anda gunakan untuk tujuan tersebut. Sebagai contoh anda peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk membeli baju atau menonton wayang dan sebagainya. Berbelanjalah dalam tempoh sebulan tersebut dengan peruntukan tadi. Bilamana peruntukkan tersebut habis, berhentilah berbelanja! Tiada pengecualian dalam kes ini. Anda tidak dibenarkan sama sekali untuk berbelanja lebih daripada yang diperuntukkan.

6: Carilah Teman Untuk Keluar Berbelanja!
Jika anda seorang yang cepat dan mudah tertawan dengan promosi daripada jurujual, anda dinasihatkan untuk mencari seorang teman samada daripada rakan-rakan ataupun keluarga yang mampu untuk berkata tidak kepada sebarang tawaran yang di luar kawalan anda. Anda hanya dibolehkan ke luar berbelanja dengan syarat membawa mereka bersama, jika tidak jangan sekali-kali memberanikan diri keluar keseorangan, bimbang anda akan terjebak dengan kes terlebih berbelanja.

7: Meninjau Terlebih Dahulu Pilihan Anda!
Perkara yang terbaik sebelum anda membuat senarai barangan untuk berbelanja adalah dengan meninjau terlebih dahulu harganya. Dengan adanya teknologi internet, anda bolehlah menyemak senarai harga di laman web yang berkenaan dan membuat perbandingan harga. Buat ulangkaji harga terlebih dahulu sehingga anda betul-betul yakin dan mendapat harga yang terbaik.

Tuesday, June 1, 2010


Tabiat merokok bukanlah budaya baru dalam masyarakat kita kerana tabiat merokok sudah menjadi budaya masyarakat dahulu kala, sama ada di negara kita atau di negara-negara lain. Kebanyakan lelaki dewasa zaman dahulu bukan sahaja menghisap rokok, malah mereka juga menghisap cerut dan menghisap paip. Kini, tabiat merokok bukan sahaja meningkat dalam kalangan orang dewasa, tetapi golongan kanak-kanak dan remaja termasuklah dalam kalangan remaja wanita sudah mengamalkan tabiat merokok. Tabiat merokok dikatakan sebagai punca utama kematian di negara-negara Barat. Saban tahun, sekurang-kurangnya 50 ribu orang lelaki dan wanita di United Kingdon mati akibat kesan merokok.

Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kebanyakan penghidap penyakit kanser paru-paru dan serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok. Oleh itu kempen antirokok yang bertemakan "Tak Nak" telah dilancarkan oleh kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Namun begitu, kempen ini tidak membuahkan kejayaan. Oleh sebab kempen ini kurang mencapai matlamatnya, maka usaha lain perlu dilaksanakan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Bagi mencapai tujuan itu, orang ramai perlu didedahkan tentang keburukan amalan merokok terutamanya keburukan dan kesan dari segi kesihatan.

Apakah kesan kepada si perokok?

1) Perokok akan menjadi lemah, tidak cergas, dan sesak nafas kerana asap rokok menjejaskan sistem pernafasan si perokok.
2) Sistem saraf dan jantung si perokok terdedah kepada bahaya kerana didalam rokok terdapat nikotin iaitu dadah yang sangat berbahaya.
3) Rokok menyebabkan denyutan jantung semakin kencang, mengecutkan saluran darah, dan menaikkan tekanan darah.
4) Perokok mudah menghadapi pelbagai penyakit yang menyebabkan kematian.
5) Asap menyebabkan orang yang menghidunya mengalami kesan seperti sakit kepala, sakit kerongkong, sakit mata, pening kepala, dan batuk-batuk.
6) Para remaja akan beralih dengan mudahnya kepada penyalahgunaan dadah. Dikatakan bahawa 100 peratus penagih dadah di Malaysia bermula daripada merokok yang menyebabkan gejala tersebut meningkat setiap tahun.

Langkah untuk berhenti daripada tabiat merokok.


1) Menyediakan senarai tentang keuntungan dan kerugian merokok. berdasarkan senarai itu, kita dapat melihat dan menentukan sama ada kebaikan merokok lebih banyak membawa keburukan atau sebaliknya.
2) Mengira jumlah wang yang dibelanjakan untuk membeli rokok pada setiap minggu dan setiap bulan. Kemudian, kita mengira jumlah wang dibelanjakan dalam tempoh setahun untuk membeli rokok. Dengan itu, kita akan dapat menilai barangan yang dapat dibeli sekiranya wang itu tidak dibelanjakan untuk rokok.
3) Menyediakan jadual sendiri untuk berhenti merokok. Kita perlu mencatat di atas kertas, mengikuti perkara yang dicatatkan, dan menetapkan hari tertentu untuk berhenti rokok selama dua atau tiga minggu sekali.
4) Jangan menyimpan kotak rokok di tempat yang mudah dilihat dan diambil seperti di dalam saku atau di dalam beg.
5) Menghindarkan diri daripada menghisap rokok pada waktu selepas minum teh atau minum kopi.
6) Menyediakan bahan kunyah berkalori rendah seperti sepotong sayuran mentah atau sepotong buah yang dikeringkan. Dengan ini, lama-kelamaan keinginan untuk merokok akan berkurangan.
7) Cara yang terbaik ialah berazam untuk terus berhenti daripada merokok.

Kita mempunyai hak untuk membeli serta menolak sesuatu barangan atau perkhidmatan yang tidak memuaskan kehendak kita. Oleh itu, para pengguna memainkan peranan penting dalam menentukan harga barangan dan perkhidmatan.

Harga barang-barangan di pasaran ditentukan oleh dua faktor penting, iaitu permintaan dan penawaran. Permintaan barang-barang dipengaruhi oleh para pengguna. Jika terlalu banyak orang membeli sesuatu barang, misalnya kereta Proton Wira, maka permintaan untuk kereta itu akan meningkat. Peningkatan permintaan kereta Proton Wira akan menyebabkan harga pasaran kereta itu naik. Sebaliknya, sesuatu barang yang mempunyai permintaan yang sedikit akan mengakibatkan harga barang itu di pasaran turun. Jadi, pengguna berperanan untuk menentukan permintaan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan. Dengan itu, pengguna berperanan dalam menentukan harga barang-barang di pasaran.

Pengguna juga mempunyai kuasa untuk menaikkan atau menurunkan harga sesuatu barangan. Jikalau banyak orang meminati sesuatu barangan kerana barang tersebut cantik, bermutu tinggi atau mengikut selera pengguna maka pengguna akan memuji-muji tentang keistimewaan barang itu. Lama-kelamaan, lebih banyak orang akan membeli barang tersebut, sama ada kerana ingin mengikut fesyen atau sekadar ingin mencuba barang baru tersebut. Dengan itu, pengguna juga merupakan iklan atau penyebar maklumat yang paling berkesan. Sekiranya, semua orang mengaku kebenaran tentang kebaikan barang tersebut, maka harga barang itu akan meningkat dan permintaan terhadap barang itu akan bertambah. Contohnya, harga baju yang berjenama Orlando, Camel, Crocodile, John Master, dan sebagainya menjadi idaman setiap pengguna walaupun harganya berkali ganda dengan baju jenama lain. Dengan itu, Pengguna mempunyai saham untuk menentukan harga barang-barang di pasaran.

Jika kita melihat tentang pendapatan yang diterima oleh penduduk di negara ini, penduduk Malaysia boleh dikatakan mempunyai taraf hidup yang sederhana. Namun begitu, kita mampu untuk memiliki serba sedikit harta dan barang-barangan yang mewah. Oleh itu, kita mendapati harga barang keperluan harian serta pakaian agak tinggi jika dibandingkan harganya beberapa tahun yang lalu. Harga barang-barang di bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan harganya di kampung atau di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan para pengguna di situ berpendapatan rendah dan mereka tidak mampu untuk membayar harga sesuatu barangan jika harganya terlalu tinggi. Sehubungan itu, daya beli penduduk di sesuatu kawasan dapat mempengaruhi harga barang.

Kebanyakan kita masih jahil tentang hak-hak kita sebagai pengguna. Jika kita mendapati bahawa seseorang peniaga itu menjual sesetengah barangan dengan harga yang terlalu tinggi padahal harganya lebih rendah daripada harga yang ditetapkan, maka pengguna mempunyai hak untuk melaporkan hal itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan. Kita boleh juga melaporkan hal yang sama kepada Persatuan Pengguna. Dengan aduan itu, maka pegawai-pegawai akan ditugaskan untuk menyiasat tentang aduan yang dibuat untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang bersalah, sama ada dengan memberikan teguran atau mengambil tindakan undang-undang.

Pada setiap hari, kita dapat melihat pelbagai bentuk iklan yang disiarkan melalui media elektronik dan media cetak. Banyak iklan disiarkan menjelang cuti persekolahan, menjelang sesuatu perayaan dan sebagaunya. Semua ini adalah untuk mempengaruhi pengguna supaya membeli dan berbelanja dengan boros. Jika pengguna terpengaruh dengan iklan, maka semua orang akan berbelanja pada masa yang sama. Hal ini akan menyebabkan harga barang akan meningkat walaupun itu dikatakan dijual dengan jualan murah. Di sini pentingnya peranan kita sama ada hendak mengikut kehendak penjual atau tidak

Wednesday, May 26, 2010


Di kalangan masyarakat kita, tanggapan bahawa daging kambing tidak baik untuk kesihatan sudah mula diterap dalam minda sejak dahulu lagi. Ekoran daripada tanggapan ini, ramai yang tidak berfikir panjang untuk menolak apa jua hidangan daging kambing. Namun persoalannya sejauh mana kebenaran tanggapan tersebut?

Ramai daripada kita tidak tahu bahawa 63% daripada daging merah yang digunakan setiap hari sebenarnya adalah daging kambing. Malah, permintaan terhadapnya adalah tinggi di merata tempat termasuklah dinegara-negara Barat, Timur Tengah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Caribbean.

DiMalaysia, bagaimanapun permintaan terhadap daging kambing tidaklah setinggi mana. Ia berikutan dua faktor iaitu pengguna tidak tahu di mana hendak mendapatkan daging kambing. Kebanyakkan pasaraya hanya menjual daging kambing biri-biri (mutton atau lamb)

Faktor kedua adalah tanggapan salah bahawa daging kambing mempunyai kandungan lemak tepu dan kolesterol tinggi yang membahayakan jantung. Ternyata tanggapan ini tidak benar sama sekali apabila ia berpunca daripada salah faham mengenai daging kambing biasa dan daging kambing biri-biri. Mungkin setelah mengetahui sendiri perbezaan dan frasa yang digunakan dalam melabelkan kambing dan kambing biri-biri secara tidak langsung mampu mengubah persepsi anda mengenai salah tanggapan ini.

PERBEZAAN KAMBING DAN KAMBING BIRI-BIRI
Kambing (Goat)
- Ekornya menegak keatas.
- Biasanya diternak bagi mendapatkan hasil daging dan susu.
- Daging kambing biasa dikenali sebagai 'chevon'.
- Daging bagi anak kambing dikenali sebagai 'cabrito' atau 'capretto'.
- Dagingnya rendah lemak dan rendah kolesterol.

Kambing biri-biri (Sheep)
- Ekornya jatuh kebawah.
- Diternak bagi mendapatkan bulunya.
- Daging bagi kambing biri-biri dewasa dikenali sebagai 'mutton'.
- Daging bagi anak kambing biri-biri dikenali sebagai 'lamb'.
- Dagingnya mengandungi kandungan lemak dan kolesterol yang tinggi.

KEISTIMEWAAN DAGING KAMBING
Tidak seperti daging kambing biri-biri, daging kambing biasa mengandungi kandungan lemak dan kolesterol yang sangat rendah. Ia sangat ideal bagi mereka yang sangat menitikberatkan soal kesihatan. Keistimewaan lain yang terdapat dalam daging kambing termasuklah:

- Baik untuk jantung dan ia disyorkan oleh American Heart Association bagi mereka yang berhadapan dengan masalah kesihatan yang melibatkan jantung.
- Ia kaya dengan protein dan ratio lemak sihat.
- Mengandungi zat besi dan potasium yang tinggi beserta dengan tahap sodium yang rendah.
- Kandungan kalori dan kolesterolnya lebih rendah berbanding daging lembu dan ayam.
- Tiada pencemaran hormon seperti daging ayam dan pencemaran bakteria sepertimana yang ada pada ikan.

sumber: majalah RAPI

1) Senaraikan semua usaha ke arah pencapaian matlamat anda mengikut keutamaan. Kemudian, pilih lima hingga sepuluh yang teratas dan laksanakan. Anda dikira sudah berdisiplin sekiranya dapat melaksanakan lebih daripada lima langkah yang paling utama.

2) Lekatkan poster, cogankata atau kata-kata yang menjelaskan matlamat anda itu di tempat-tempat yang mudah dilihat. Jangan malu, isytiharkan kepada dunia tentang apa yang anda akan capai. Yang penting, "pengisytiharan" itu akan mendorong anda setiap kali anda melihatnya.

3) Tetapkan apa yang anda ingin lakukan setiap hari. Amalkan perancangan mingguan dan harian yang teratur. Usah biarkan hari-hari berlalu "sepi" tanpa sesuatu pencapaian-pencapaian kecil ke arah pencapaian matlamat besar anda. Ingat, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

4) Setiap perkara penting yang hendak anda laksanakan hendaklah ditulis tarikh akhirnya (dead line). Ini akan memberikan semacam satu kepuasan dan kemenangan apabila tarikh lahir itu berjaya ditepati. Anda akan rasakan matlamat yang dikejar semakin mendekat hari ke hari.

5) Bagi satu tugasan yang terlalu sukar atau membosankan (tetapi sangat penting), elokkan mulakan secara berdikit-dikit. Jangan menunggu kesempurnaan untuk memulakannya kerana ini akan menjerumuskan anda kepada satu keadaan "tidak berbuat apa-apa". Ingatlah, rasa tidak selesa semasa melakukan aktiviti-aktiviti tersebut adalah lebih baik daripada rasa risau, takut dan kesal sekiranya anda tidak melakukannya langsung!

6) Gunakan masa yang paling optimum dalam hidup seharian anda untuk melakukan tugas-tugas yang paling penting. Dan ingat, jangan terus bergelumang ke bahagian-bahagian yang tersukar, sebaliknya mulakan pada bahagian-bahagian yang lebih mudah dahulu. Ini akan memberikan anda semacam satu "momentum" untuk menakluki bahagian-bahagian tersukar dalam tugasan yang paling mencabar.

7) Amalkan dialog diri yang positif. Pandang tinggi diri anda selalu dengan berkata, "Aku boleh. Aku boleh berjaya kerana aku adalah orang yang berdisiplin." Jangan terpengaruh dengan kata-kata negatif sama ada yang datang dari dalam diri anda sendiri atau daripada orang luar yang tidak membina!

8) Janjikan satu masa untuk meraikan kejayaan anda sekiranya anda berjaya melaksanakan tugas-tugas sukar dalam hidaup. Misalnya, menikmati makanan istimewa di tempat-tempat yang anda sukai selepas melaksanakan tugas-tugas besar. Katakan kepada diri, "Sekiranya aku berjaya menyelesaikan tugas ini, aku akan belanja diriku makan "the best nasi Beryani in town....!"

Tuesday, May 25, 2010



Tips Oleh : Irfan Khairi
1) Tak Perlu Kopi dan Rokok!
Tip pertama ni mungkin ramai dah mula mengeluh. Tunggu dulu, biar saya jelaskan! Terdapat satu istilah ini yang dikenali sebagai “The Latte Factor” oleh penulis David Bach yang membawa maksud, setiap hari sebelum anda ke pejabat, boleh tak anda tak perlu singgah ke kedai kopi berjenama untuk secawan kopi (dan rokok)?
Mungkin menjadi tabiat kita untuk singgah sebentar dan berbelanja RM5 setiap hari pada minuman dan rokok sebelum ke pejabat atau ketika waktu rehat pejabat setiap hari. Dengan hanya menjimat RM5 sehari dan melaburkannya di dalam pelaburan yang memberi pulangan 10% setahun, dalam masa 45 tahun, wang tersebut akan menjadi RM1.4juta! katakanlah anda lakukan ini dari umur 20 tahun, anda akan pencen sebagai seorang jutawan!

2) Potong Kad Kredit
Ambil gunting, buka dompet anda, dan potong kad kredit anda. Ya, sememangnya kad kredit amatlah berhantu! Kad itu hanya memerah wang anda dengan mengecaj interest yang amat tinggi, paling tinggi dalam industri kewangan (tidak termasuk along!). Sering kali kad kredit digunakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu dan akibatnya, setiap bulan anda terpaksa membayar interest yang sebenarnya memakan simpanan anda.
Katakan anda membayar Interest kad kredit sahaja dalam lingkungan 18%. Apa makna simpanan anda yang memberi pulangan 10%? Tiada maknanya! Simpanan pelaburan anda tidak akan bertambah sekiranya wang anda "bocor" akibat pembayaran caj-caj kad kredit itu.

3) Jaga Emosi
Siapa kata wanita sahaja yang pandai berbelanja? Lelaki juga tidak kurangnya. Kajian menunjukkan bahawa walaupun wanita lebih kerap berbelanja daripada lelaki, tetapi perbelanjaan lelaki adalah lebih banyak nilainya untuk setiap pembelian.
Jaga emosi kita dalam berbelanja. 90% keputusan belian adalah keputusan emosi. Fahami bahawa semua perniagaan dalam dunia ini akan mengeksploit emosi untuk menarik belian anda. Sering kali belian yang dilakukan adalah tidak diperlukan. Setiap kali anda berdepan dengan keputusan sesuatu belian, ulangkan berkali-kali dalam fikiran anda “Jaga emosi… jaga emosi… jaga emosi!”

4) Pakar Satu Bidang Kewangan
Anda tidak perlu jadi pakar dalam semua perihal kewangan. Anda tidak perlu membaca beratus-ratus buku kewangan untuk berjaya dalam bidang kewangan. Tetapi, anda hanya perlu menjadi pakar dalam satu bidang kewangan sahaja.
Maksudnya, pilih satu bidang kewangan untuk anda dalami. Contoh, mungkn anda minat melabur, maka, jadikan topik pelaburan sebagai bidang anda dalami. Atau mungkin anda minat hartanah, maka jadikan hartanah sebagai bidang anda dalami. Ataupun anda minat perniagaan Internet, maka, baca buku-buku perniagaan Internet.
Dengan mendalami sekurang-kurangnya hanya sesuatu topik kewangan, anda boleh pelajari pelbagai kaedah menggandakan kewangan anda dalam bidang tersebut. Itu sahaja sudah cukup untuk membantu hidup kita lebih mewah.

5) Hutang Yang Bagus
Setiap kali anda berhutang, pastikan ianya adalah hutang yang bagus. Hutang bagus? Bukankah hutang semuanya tidak bagus?
Hutang yang bagus bermaksud hanya berhutang pada perkara2 yang menambah nilai. Contohnya, membeli rumah, kerana nilainya bertambah. Berhutang untuk memulakan perniagaan kerana bakal menambah pendapatan.Berhutang dalam pendidikan juga adalah bagus kerana ia menambah ilmu dan nilai diri kita.
Manakala berhutang untuk melancong, membeli perabot, membeli kereta, pelaburan adalah tidak bagus kerana pulangannya yang tidak seberapa dan nilai barang menjadi susut. Sangat tidak berbaloi!

6) Baca 30 Minit
Kebanyakan kita tidak membaca walaupun satu buku. Sekiranya tidak membaca, bagaimana hendak menambah kepakaran kita?Sekiranya kepakaran tidak bertambah, maka semakin lambatlah gaji kita akan naik disebabkan kurangnya ilmu.

7) Cari kawan baru
Anda akan menjadi seperti kawan anda. Sekiranya anda sering lepak dengan kawan-kawan yang selalu sengkek, selalu pokai, selalu tak berduit, sedar tak sedar, anda juga akan menjadi seperti itu. Apa kata anda buka fikiran untuk mencari kenalan-kenalan baru dikalangan mereka yang berjaya? Bukan abaikan kawan-kawan yang sengkek tadi… Erm…. Mungkin juga boleh abaikan mereka kerana menyusahkan diri anda sahaja!
Dapatkan kawan yang bijak mengendalikan wang. Dapatkan kenalan usahawan berjaya. Dapatkan kawan yang pakar dalam industri anda. Dengan sentiasa berdampingan dengan mereka yang berjaya, anda juga akan turut berjaya kerana kejayaan itu akan berjangkit kepada anda!

8) Jangan Baca Sahaja
Jangan baca sahaja tip-tip kewangan dan tidak lakukan apa apa. Mungkin tip-tip 1 hingga 7 ini anda telah baca sebelum ini, tetapi tabiat manusia sering melewat-lewatkan kerja dan tidak melakukan apa-apa. Mungkin sebelum ini anda telah fikir untuk mengubahkan hidup anda, tetapi, hanya duduk dan biarkan waktu berlalu tanpa sebarang usaha.
Mempunyai ilmu sahaja tanpa mengaplikasikannya adalah kerugian yang amat besar. Jangan sekadar baca sahaja, lakukan sesuatu untuk mengubah hidup anda. Lakukan perkara-perkara yang mudah kerana perkara-perkara yang mudah inilah yang akan membuatkan kita hidup lebih mewah!

Monday, May 24, 2010


Pengguna adalah berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan. Pengguna sering terkeliru mengenai keperluan asas dan kehendak. Apa itu keperluan asas dan apa pula itu kehendak? ikuti selanjutnya.

Keperluan  merupakan asas kepada kehidupan manusia dan ini meliputi keperluan fizikal seperti makanan dan pakaian, keperluan sosial seperti kasih sayang, keperluan individu seperti ilmu pengetahuan dan pencapaian hasrat diri seperti kemajuan diri dan juga kejayaan diri. Mengikut teori Hierarki Maslow, keperluan dapat dibahagikan kepada 5 peringkat.


Manakala kehendak ialah keinginan dan kemahuan manusia yang dibentuk oleh budaya sekeliling serta personaliti individu. Sebagai contoh, seorang eksekutif jualan mungkin memerlukan kereta mahal seperti Honda untuk menjaga imej dan statusnya sebagai seorang pegawai, manakala seorang kerani jualan mungkin memadai dengan kereta Proton sahaja. Di sini menunjukkan bahawa personaliti individu tersebut memainkan peranan di dalam membentuk kehendak seseorang.

Wednesday, May 19, 2010

Masalah kenaikan harga barang seharusnya menyebabkan otak kita lebih kreatif atau lebih bijak ketika berbelanja. Kenaikan harga barang akibat kenaikan harga minyak sedunia dan tekanan inflasi harus kita tangani terlebih dahulu dengan bertindak sendiri. 15 tips untuk anda membeli-belah.

1) Menyenaraikan keperluan yang hendak dibeli agar tidak terbeli barang-barang yang tidak perlu.
2) Jangan membeli-belah ketika lapar kerana ianya mendorong kita membeli lebih daripada yang diperlukan.
3) Jangan membawa wang yang berlebihan daripada anggaran harga keperluan yang disenaraikan.
4) Lakukan pembelian keperluan secara sekaligus dan jangan membeli secara sedikit-sedikit kerana ini akan menyebabkan kita sering ke kedai.
5) Beli barangan keperluan secukupnya kerana pembelian yang berlebihan menyebabkan pembaziran.
6) Pastikan barang-barang yang hendak dibeli mempunyai harga yang berpatutan.
7) Elakkan daripada membawa ramai ahli keluarga bagi mengelakkan pembelian yang terkeluar daripada senarai.
8) Utamakan Barangan Buatan Malaysia dan berubahlah kepada produk generik.
9) Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran berbanding makanan yang diproses.
10) Gunakan bakul semasa membeli belah berbanding troli.
11) Jangan terpedaya dengan jualan promosi, jualan murah dan potongan harga.
12) Gunakan wang tunai dan mengelakkan pengunaan kad kredit supaya perbelanjaan dapat dihadkan.
13) Amalkan pembelian terancang. Utamakan keperluan daripada kemahuan.
14) Pastikan barangan dalam berkeadaan baik seperti tin tidak kemek, plastik tidak terbuka dan kuantiti mancukupi.
15) Buatlah pilihan yang bijak dan ingatlah hak anda sebagai pengguna.
PERTUBUHAN KERAJAAN

1) E – Aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Sistem E-Aduan membolehkan pengguna membuat aduan kepada KPDNKK berkaitan sebarang aktiviti perniagaan yang tidak beretika. Sistem eAduan ini dibangunkan dan dilaksanakan dengan satu objektif: untuk menyediakan satu medium menerima aduan melalui internet daripada orang ramai.

Laman web : http://eaduan.kpdnkk.gov.my
Email : e-aduan@kpdnkk.gov.my

2) Biro Pengaduan Awam (BPA)
Biro Pengaduan Awam (BPA) memberi kemudahan kepada rakyat untuk membuat aduan terhadap agensi kerajaan. Antara objektif BPA ialah memberi khidmat nasihat kepada agensi bagi meningkatkan sistem pengendalian aduan awam yang berkesan dan mengesan isu-isu yang boleh menjadi punca aduan orang awam

Laman web : http://www.pcb.gov.my
Tel : 03-88725777

3) Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM)
Pengguna boleh membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya tentang sebarang isu berkaitan dengan sektor komunikasi dan multimedia merangkumi telekomunikasi, penyiaran, perkhidmatan internet, perkhidmatan pos, kurier dan pensijilan digital.

Laman Web : http://www.skmm.gov.my
E-mail : aduanskmm@cmc.gov.my

4) Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah satu badan bebas yang ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999. Bahagian XII Akta mengandungi 38 Seksyen yang menyentuh tentang pelbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan Tribunal, bidangkuasa Tribunal, prosiding Tribunal, award Tribunal dan lain-lain perkara berkaitan. Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia menyedikan alternatif kepada pengguna untuk memfailkan sebarang gantirugi dan pampasan terhadap peniaga secara online.

Laman Web
: http://ttpm.kpdnkk.gov.my
Tel : 03-88825822

5) Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) 

Ditubuhkan pada 24hb. Mei 1964 TTPR dan menyediakan alternatif untuk mendengar dan mengadili tuntutan pembeli yang menuntut gantirugi dan pampasan daripada pemaju perumahan dengan cara yang lebih mudah, murah dan cepat melalui pembangunan sosio-ekonomi yang seimbang.

Laman Web : http://www.kpkt.gov.my
Tel : 03-20947033

6) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KTTHA)

Diwujudkan untuk membuat sebarang aduan, pertanyaan, cadangan yang berkaitan perkhidmatan tenaga, teknologi hijau dan air.

Laman Web : http://aduan.kettha.gov.my
E-mail : aduans@ktak.gov.my


7) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Sistem aduan Kementerian Kesihatan ini dibangunkan sebagai medium untuk pengguna membuat aduan berkaitan perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan agensi terbabit dibawahnya.

Laman web : http://www.moh.gov.my
Email : kkm@moh.gov.my



PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN (NGO)

1) Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Pusat aduan setempat bagi memberikan khidmat nasihat, membantu menyalurkan aduan kepada pihak yang bersesuaian seperti agensi kerajaan, pengeluar, pengedar atau penjual dan menjalankan perundingan antara pihak pengadu dengan pihak dituntut.

Laman web : http://www.nccc.org.my/v2
Tel : 03 7877 9000 

2) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Sistem aduan pengguna yang dibangunkan oleh pihak PPIM untuk memberikan saluran alternatif dalam menerima aduan daripada golongan pengguna di Malaysia.

Laman web : http://www.muslimconsumer.org.my
Email : info@muslimconsumer.org.my


AGENSI AGENSI LAIN

1) Biro Pengantaraan Kewangan (BPK)
Biro Pengantaraan Kewangan adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan pertikaian di antara anda dengan penyedia perkhidmatan kewangan anda di kalangan ahli-ahli BPK. BPK menyediakan satu saluran yang percuma, cepat, mudah dan cekap untuk anda mengemukakan pertikaian sebagai alternatif kepada penyelesaian melalui mahkamah. Pertikaian tersebut mungkin berkaitan dengan perkhidmatan perbankan, kewangan ataupun insurans dan takaful.

Laman web
: http://www.fmb.org.my
Tel : 03-22722811 

2) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Menerima aduan mengenai salah laku dan kesalahan lain dalam sekuriti dan pasaran niaga hadapan serta menilai sama ada terdapat kesalahan di bawah undang-undang sekuriti. Jika anda mengesyaki terdapat salah laku dalam industri dan boleh menyokong dakwaan anda, sila kemukakan aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Laman web : http://www.sc.com.my
E-mel : cau@seccom.com.my



Apakah tujuan utamanya? Tujuannya ialah bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan. Pernahkah anda mengalami situasi dimana anda sangat tidak berpuas hati dengan sesuatu produk atau perkhidmatan yang diberi kepada anda? Lebih ramai mengatakan ya berbanding tidak iaitu tidak berpuas hati dengan sesuatu produk atau perkhidmatan yang diberi kepada mereka. Oleh itu adukan ketidakpuasan anda kepada pihak yang berkenaan, jadilah pengguna yang bijak.

Apakah Tips-tips membuat aduan?

Tips-tips membuat aduan :

1. Simpan semua maklumat pembelian di dalam fail.
2. Dapatkan bukti yang berkaitan.
3. Bertenang dan atur stategi yang berkesan.
4. Gunakan fakta dan statistik untuk membuktikan kesahihan aduan.
5. Tulis surat aduan yang ringkas dan padat.
6. Ikuti dan catat perkembangan aduan yang dilaporkan.
7. Gunakan media massa untuk membuat laporan aduan jika perlu.
8. Membuat aduan melalui agensi aduan kepenggunaan.
Pengguna berhak diberi maklumat yang sepatutnya, mencukupi, benar dan tepat untuk memudahkan para pengguna membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang tidak benar, penipuan dan penyelewengan.Beberapa perkara telah dikenalpasti yang perlu diteliti oleh seseorang pengguna ketika membeli sesuatu produk iaitu:

1)
Tempat asal barangan/produk, termasuk nama dan alamat pembuat/pengilang, pengimport, penjual borong, ejen atau pengedar, kumpulan barangan, nombor model atau stok, tanda perniagaan dan negara asal.
2) Tarikh luput atau expired date, tarikh pembuat/pengilang
3) Nama sebutan sebenar barangan yang dijual.
4) Berat minimum, kuantiti, amaun atau muatan barang-barang mengikut unit metrik.
5) Penerangan kandungan umum termasuk maklumat, keupayaan, panduan untuk kegunaannya dan batasannya.
6) Penerangan kandungan khusus seperti senarai dan nisbah bahan-bahan kandungan, khasiat bahan-bahan kandungan
7) Kualiti atau kadar keupayaan misalnya tanda kelulusan, gred dan sebagainya yang menunjukkan memenuhi standard SIRIM dan sebagainya.
8) Terma-terma khusus mengenai jualan termasuk harga cadangan, diskaun dan tawaran istimewa. Maklumat seperti amaran, peraturan-peraturan kecemasan untuk golongan pengguna tertentu misalnya kanak-kanak.

Apakah sumber-sumber maklumat pengguna? Sumber maklumat pengguna adalah pelbagai, tambahan pula zaman sekarang yang serba moden ini mempunyai pelbagai kemudahan elektronik. Antaranya ialah label barangan itu sendiri, kerajaan, media massa, perpustakaan, pengikalanan, persatuan-persatuan pengguna, Organisasi-organisasi yang berkaitan seperti syarikat yang membuat ujian ke atas barangan, sumber orang iaitu sumber daripada pengguna lain yang telah menggunakan barangan tersebut.

Tuesday, May 18, 2010


Kebanyakan anda pasti pernah berdepan pengalaman pahit ketika berurusan dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, malah anda mungkin beranggapan ia sebahagian persetujuan 'senyap' dan tiada apa yang boleh dibuat bagi menghalang masalah sama berulang.

Sebagai contoh, ada ketika, anda dapati bil telefon diterima tidak tepat sama ada bil talian tetap, telefon bimbit mahupun telefon pejabat.

Bagi pengguna prabayar, keadaan lebih mengelirukan. Sebagai contoh, anda membeli sejumlah nilai kredit prabayar dan membuat beberapa panggilan. Dalam beberapa hari, anda dapati baki kredit prabayar itu jauh berkurangan. Biasanya, anda hanya berkata, adakah aku membuat banyak panggilan?.

Jika keadaan itu berlaku, di mana tempat anda mengadu selain syarikat penyedia perkhidmatan itu?. Justeru, pelanggan dan semua pengguna telekomunikasi perlu mengetahui hak anda sebagai pengguna telekomunikasi yang bijak.

Sebelum ini, Malaysia hanya mempunyai satu syarikat penyedia perkhidmatan dan ketika itu, sering timbul anggapan bahawa penyedia perkhidmatan lebih berhak berbanding pelanggan. Namun, keadaan berubaha selepas penggubalan Aktak Komunikasi dan Multimedia 98 (CMA98) yang mempunyai peruntukan terhadap pelbahai perkhidmatan pemusatan untuk diperkenalkan kepada industri dan negara.

CMA98 menyatakan secara jelas peruntukan bagi anti persaingan, langkah pertama ke arah liberalisasi dalam industri komunikasi.

Berikutan itu, lesen penyedia komunikasi lama perlu bergerak ke arah rejim perlesenan baru bagi lesen penyedia kemudahan komunikasi, lesen individu ASP bagi perkhidmatan sewa dan lesen kelas bagi pelbagai perkhidmatan.

Terdapat perspektif baru bagi definisi hak dalam komunikasi yang boleh dibahagikan kepada hak pengguna, hak penyedia perkhidmatan dan hak kerajaan serta badan kerajaan.

Untuk menjadi pengguna komunikasi bijak, anda perlu mengetahui hak sebagai pengguna dan melalui hak itu serta hak penyedia perkhidmatan, akta baru berkenaan menggalakkan rejim kawanlan sendiri manakala kerajaan tidak lagi mengenakan segala kawalan dan tindakan.

Sebaliknya, melalui CMA98, masyarakat dan industri perlu bersama- sama mengatur diri dan bersetuju terhadap masalah yang berlaku dan berusaha memperbaikinya dan pasa sama menjamin dan meningkatkan perkhidmatan pelanggan.

Memandangkan sudah menjadi peraturan industri, pengguna perlu memberi maklumat mengenai apa yang boleh diterima dan mampu meningkatkan perkhidmatan pelanggan.

Peringkat pertama mengenali hak pengguna, anda perlu melepasi saluran disediakan Forum Pengguna Malaysia (CFM) yang dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pada peringkat ini, pengguna dan penyedia perkhidmatan akan cuba untuk menyelesaikan malasah secara bersama.

Jika peringkat pertama itu gagal, CFM boleh mengemukakan kes kepada SKMM untuk tindakan lanjut. Suruhanjaya itu bertindak mengawasi keberkesanan CFM dan menguatkuasakan tanggungjawab pelesenan dikenakan terhadap setiap syarikat penyedia perkhidmatan.

CFM adalah organisasi yang dianggotai penyedia perkhidmatan dan kumpulan pengguna yang turut mempunyai pengurusan sendiri bagi menjelaskan kod tata laku penyedia perkhidmatan. Setiap aduan akan diselesaikan dan syarikah penyedia perkhidmatan yang menerima aduan itu perlu memberi maklum balas mengikut kategori aduan dan jangka masa diberi.

Sebagai pengguna komunikasi, anda sering menghadapi pelbagai masalah berkaitan perkhidmatan komunikasi disebabkan pelbagai faktor termasuk kualiti perkhidmatan buruk dan tidak memuaskan seperti pemberian bil tidak tepat.

Alasan in paling rumit dan kontroversi serta paling banyak didebatkan dengan beberapa syarikat penyedia perkhidmatan prabayat memandangkan pengguna tidak diberikan bil.

Jadi, bagaimana anda dapat mengawasi panggilan dibuat selain mengetahui baki kredit prabayar berkurangan secara mendadak sedangkan anda tidak membuat banyak panggilan?

Jadi, dengan hanya memahami hak anda, and mungkin boleh bertanya secara terperinci bagi mendapatkan penjelasan.

Perlu diingat, sejak CFM dilantik SKMM sebagai mata dan telinga suruhanjaya itu dan semua pengguna, anda sebagai pengguna komunikasi yang bijak perlu memanfaatkan sepenuhnya saluran disediakan.

Untuk maklumat lanjut mengenai CFM, dan boleh melayari laman web di alamat www.cfm.org.my.

Antara faktor kenapa anda perlu menekankan hal itu kerana anda membelanjakan purata antara 5 hingga 50 peratus jumlah pendapatan bulanan untuk berkomunikasi sama ada menggunakan perkhidmatan prabayar, perkhidmatan suara atau perkhidmatan telefon bimbit, talian tetap atau Internet.

Kesimpulannya, anda mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai penggunaan perkhidmatan komunikasi walaupun tiada bil dihantar ke rumah.

UMUMNYA semua pernah membeli aset seperti telefon bimbit, peti sejuk, perabot, kenderaan dan rumah. Ada pembelian itu memuaskan dan ada pula mengecewakan. Isunya ialah apakah yang anda boleh buat agar keputusan pembelian menjadi lebih baik dan tepat.

Pertama, anda perlu kenal pasti keperluan sebenar. Sebaik-baiknya ciri spesifikasi keperluan ini ditulis dan disenaraikan dengan jelas. Sebagai contoh, anda mungkin perlukan telefon bimbit untuk sekadar berkomunikasi atau mungkin anda berminat memiliki sesuatu yang istimewa dan ini pun perlu dikenal pasti. Umpamanya, anda mungkin berhajatkan telefon yang boleh mengambil gambar seperti kamera. Berikutnya, keperluan dan kehendak ini perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan.

Kedua, anda perlu mendapatkan maklumat selengkap mungkin mengenai produk atau aset yang hendak dibeli seperti ciri, kos, jangka hayat, selenggaraan, manfaat, kelebihan, kelemahan dan risiko berkaitan. Anda harus bijak dalam usaha mendapatkan maklumat penting ini. Setiap jurujual akan mengatakan produk mereka adalah terbaik. Biasanya mereka yang berpengalaman dan tidak berkepentingan dapat memberikan pandangan yang adil dan tepat mengenai prestasi produk yang hendak dibeli. Sebagai contoh, seorang mekanik tentu boleh memberi maklumat mengenai prestasi kereta yang beliau servis dan baiki. Seorang tukang jahit berpengalaman dapat memaklumkan kelebihan dan kelemahan setiap jenama mesin jahit yang beliau pernah gunakan.

Ketiga, anda perlu membuat kajian kos iaitu kos pembelian dan belanja bulanan. Untuk mendapatkan harga belian yang baik, anda perlu mencari sebut harga daripada beberapa pembekal atau penjual dan mendapatkan tawaran terbaik. Mereka yang bijak merundingkan harga akan berpeluang mendapatkan harga belian terbaik. Harus diingat bahawa kos bulanan perlu mengambil kira kos operasi harian, penyelenggaraan dan susut nilai. Umpamanya jika anda membeli kereta, kos operasi harian ialah kos belanja petrol dan kadar penggunaan petrol adalah faktor penilaian yang kritikal bagi anda yang mempunyai bajet bulanan terhad. Sementara kos selenggaraan ialah belanja servis, tayar dan sebagainya. Ada aset yang harganya rendah tetapi kos selenggaraan tinggi kerana harga alat gantinya mahal. Bahkan kadang-kadang alat gantinya sukar diperoleh.

Susut nilai pula ialah jumlah susutnya nilai aset berkenaan dalam tempoh tertentu sama ada sebulan atau setahun. Sebagai contoh, jika kos belian kereta ialah RM50,000 dan tempoh jangka hayat kereta itu ialah 10 tahun maka anggaran susut nilai setahun ialah RM50,000/10 = RM5,000 setahun. Ada kes sesuatu aset itu mahal tetapi jangka hayatnya panjang, sementara aset lain pula murah tetapi jangka hayatnya pendek. Kesannya, jumlah susut nilai setiap tahun aset pertama lebih kecil dan ini mungkin boleh menjadi pilihan lebih menguntungkan dalam tempoh jangka panjang.

Keempat ialah kajian pulangan dan manfaat yang diperoleh daripada aset. Dari sudut pelaburan, jika anda berbelanja besar tetapi pulangannya jauh lebih besar, maka itu satu keputusan yang baik. Sebuah van mungkin lebih murah daripada bas mini, tetapi pembelian bas mini mungkin lebih menguntungkan jika ia boleh memberi peratus pulangan yang lebih tinggi terhadap jumlah wang yang dilaburkan. Selain daripada manfaat kewangan, anda mungkin mementingkan manfaat seperti nilai astetik dan keselesaan, justeru anda mungkin membeli MPV. Pada asasnya jika kos aset yang hendak dibeli nilainya tinggi, maka wajar untuk kita membuat kajian terperinci supaya pembelian yang dibuat yang terbaik dan tepat dengan keperluan, kehendak dan kemampuan kita.
Maklum balas pengguna cegah kemalangan akibat kecuaian pengeluar

KAJIAN menunjukkan sekurang-kurangnya setengah daripada kecederaan berkaitan produk boleh dielakkan jika pengguna menggunakan produk dengan bertanggungjawab. Apakah yang pengguna boleh lakukan untuk memenuhi tanggungjawab ini?

Pengguna hendaklah:

1) Memeriksa ciri-ciri keselamatan barang dagangan sebelum membeli. Ada beberapa model bagi setiap jenis produk. Pengguna boleh membuat pilihan. Mereka perlu membandingkan ciri pelbagai produk itu dan sebagai suatu amalan rutin pertimbangkan keselamatan relatif produk itu.

Sebagai contoh, bukan semua soket elektrik yang dijual mempunyai suis keselamatan yang bertindak sendiri apabila palam ditanggalkan. Demi keselamatan, soket bercirikan keselamatan lebih digemari.

2) Tanya penjual mengenai ciri keselamatan produk sebelum membelinya. Penjual biasanya menyimpan pelbagai jenis produk dan mereka tentu bersedia memberi maklumat berguna mengenai prestasi produk dan ciri-ciri keselamatannya.

3) Pengguna hendaklah mengambil daya usaha dan peluang bertanya kepada penjual itu mengenai produk yang disogokkan, terutama mengenai ciri-ciri keselamatan.

4) Lengkapkan dan kembalikan kad pendaftaran produk yang dibeli supaya anda dapat diberitahu jika ada kes penarikan semula produk. Memang ada berlaku kerosakan pada produk dan pengeluar, khususnya yang ada reputasi pernah menarik balik atau mengeluarkan maklumat lanjut mengenai penggunaan produk yang betul.

5) Mengembalikan kad pendaftaran beralamat membolehkan pengeluar menghubungi pembeli apabila berlaku sesuatu masalah pada produk. Kadangkala pengeluar memerlukan kad pendaftaran itu sebagai syarat bagi melaksanakan kewajipannya berhubung jaminan yang termaktub. Dalam kes seperti ini, pengembalian kad pendaftaran menguntungkan pengguna iaitu mereka menaruh keyakinan pada jaminan yang dinyatakan tanpa perbalahan.

6) Baca dengan teliti label produk dan keterangan serta label amaran. Produk pengguna biasanya mempunyai maklumat berguna dan amaran mengenai produk. Dalam kes ubat-ubatan yang dijual di kaunter misalnya, rumusan pakej tersedia dalam bungkusan ubat berkenaan memberi banyak maklumat berguna.

Petanda ini bagi menentukan ubat mana yang harus digunakan, dosnya mengikut lingkungan umur, dan petanda kontra (keadaan yang ubat tidak boleh digunakan seperti kehamilan, penyusuan badan, penyakit tertentu, beralkohol atau ketika memandu) perlu diberi perhatian. Contohnya, label makanan memberi maklumat berguna bagi mereka yang mengalami alahan pada sesetengah kandungannya.

7) Baca dan patuhi maklumat mengenai penggunaan produk dengan cermat. Banyak produk hanya selamat apabila digunakan mengikut garis panduan dan keterangan yang diberi. Sesetengah barangan elektrik selamat hanya apabila digunakan dalam jangka masa tertentu.

Dengan bertambah jangka hayat, lama masa penggunaan produk perlu dikurangkan. Seterika terlalu panas dan pengering rambut penyebab berlaku kebakaran dan kecederaan serta kerosakan di rumah.

dirol.gif Gunakan produk seperti ditetapkan dengan cermat dan berhati-hati. Produk biasanya untuk suatu kegunaan saja. Sesetengahnya sesuai untuk beberapa kegunaan. Tiada produk yang selamat untuk semua penggunaan. Penting menggunakan alat yang betul untuk melakukan sesuatu kerja selain mengetahui kebolehan seseorang itu berbeza di antara satu sama lain.

Kanak-kanak harus dilindungi. Banyak pihak pengeluar secara sedar menyediakan label seperti ‘tidak selamat digunakan oleh kanak-kanak’ atau ‘jauhi daripada kanak-kanak’. Namun, ramai ibu bapa gagal mematuhi amaran ini.

9) Laksanakan tanggungjawab peribadi bagi kewaspadaan normal apabila menggunakan produk. Tanpa mengira berat beban undang-undang yang mungkin dikenakan ke atas pengeluar, hakikatnya keselamatan adalah tanggungjawab peribadi setiap pengguna. Semua produk boleh menyebabkan berlaku kecederaan dan pengguna mesti sedar hal itu. Keprihatinan khusus diperlukan apabila menggunakan peralatan seperti kenderaan motor, barangan elektrik dan kimia serta ubat-ubatan.

10) Maklumkan kepada peruncit, pembuat dan organisasi pekerja atau pihak ketiga lain apabila produk tidak beroperasi dengan selamat. Pengeluar, terutama syarikat besar menyediakan sistem untuk memantau prestasi produk mereka selepas jualan. Sistem ini banyak bergantung pada maklum balas pengguna dan demi kepentingan penggunalah maklum balas ini diberikan.

Pengguna sering gagal melaksanakan hak mereka – hak membuat aduan! Walaupun yang mengadu kurang, tindakan mereka bermanfaat bukan saja kepada mereka sendiri, malah orang ramai. Surat aduan dihantar kepada pihak berkenaan dan jika tidak diberi perhatian, hantarkan kepada akhbar dan agensi kerajaan.

11) Kenal pasti kelemahan produk dan laporkan kepada pihak berkenaan. Memaklumkan kepada pihak berkenaan boleh memberi banyak manfaat. Aduan pengguna boleh membawa kepada rampasan beberapa jenis krim pemutih kulit yang mengandungi bahan hydroquinone daripada salun kecantikan. Penggunaan hydroquinone ini amat berbahaya, khususnya bagi penduduk di kawasan tropika kerana kekerapan mereka terdedah pada cahaya matahari.

Bahan berlebihan dalam badan boleh mengeluarkan tinnitus, selain menyebabkan tremors, deria kesesakan nafas, muntah, ketegangan otot, pening, sawan atau koma akibat kegagalan sistem pernafasan. Hydroquinone diharamkan Kesatuan Eropah.

12) Beri maklum balas kepada penarikan semula. Penarikan semula produk dilakukan pengeluar dan peruncit apabila diarahkan kerajaan atau mereka sendiri kerana wujud kelemahan pada produk dijual.

Penarikan semula produk hanya berkesan apabila pengguna memberi maklum balas kepada usaha itu dan mengembalikan barang yang dibeli. Pengguna biasanya tidak segera memberi maklum balas kepada penarikan semula produk kerana berpendapat produk mereka itu selamat dan berprestasi baik. Ini bermakna suatu bencana sedang menunggu untuk berlaku.

13) Sokong usaha memperbaiki keselamatan bagi semua pengguna. Keselamatan adalah keprihatinan ramai dan segala usaha berhubung keselamatan harus diteruskan. Setiap hari, produk baru memasuki pasaran dan pengguna serta organisasi pengguna harus sentiasa waspada.

Pengeluar dan kerajaan begitu responsif apabila ada permintaan daripada pengguna terhadap pembaikan undang-undang keselamatan dan penguatkuasaan. Setiap orang harus menyokong usaha memperbaiki keselamatan supaya semua selamat.

Pengguna perlulah bertanggungjawab bagi keselamatan mereka. Bagi mencapainya, mereka perlu prihatin dan waspada serta memastikan wujudnya rejim keselamatan produk untuk menyekat produk tidak selamat sampai ke pasaran.
Semua orang berkehendak memiliki kenderaan sendiri. Walaubagaimanapun, ianya bergantung kepada kemampuan kewangan sendiri sama ada membeli kenderaan baru ataupun yang terpakai. Tidak dinafikan bahawa membeli kenderaan baru amat menyeronokkan kerana bukan sahaja kita dapat menikmati pemanduan secara selesa malah dapat pergi ke sesuatu destinasi dengan cepat dan menjimatkan masa.

1.Ketika membuat tempahan

* Tempahan hendaklah dibuat dengan menggunakan cek atau bank deraf. Bayaran tunai tidak digalakkan.
* Pastikan setiap bayaran yang dibuat diberikan resit rasmi syarikat serta merta sebagai mengakui penerimaan bayaran.
* Pastikan borang tempahan diisi dengan betul seperti maklumat peribadi, maklumat pinjaman dan maklumat kenderaan.
* Satu salinan yang lengkap dan ditandatangani hendaklah disimpan oleh pembeli.
* Pembeli hendaklah membaca dan memahami keseluruhan terma dan syarat yang terkandung dalam borang tempahan.

2.Membuat pinjaman

Ketika memohon pinjaman, serahkan dokumen-dokumen berikut :

* Salinan borang tempahan rasmi syarikat pengedar.
* Salinan fotokopi kad pengenalan yang dicatatkan perkataan 'untuk tujuan pinjaman dengan syarikat kewangan' bagi mengelakkan penyalahgunaan salinan tersebut.
* Salinan fotokopi lesen memandu atau sekeping gambar.
* Slip gaji terbaru bagi tempoh tiga bulan.
* Penyata akaun simpanan/semasa/tetap
* Borang cukai pendapatan.
* Borang EA.
* Surat perlantikan tawaran kerja.
* Borang 9, 24, 49 M & A, resolusi syarikat (jika pembelian oleh syarikat).

Apabila pinjaman telah diluluskan, sila ambil tindakan berikut :

* Hubungi syarikat kewangan dan sahkan syarat-syarat kelulusan pinjaman seperti dicatatkan dalam surat jaminan seperti jumlah pinjaman, tempoh bayaran, kadar faedah dan jenis atau model kenderaan.
* Semua dokumen mengenai perjanjian pinjaman ditandatangani di syarikat kewangan.
* Tidak ada bayaran dikenakan bagi pengendalian proses pinjaman kenderaan.

Pendaftaran Kenderaan

* Pendaftaran kenderaan hanya boleh dibuat sekiranya :
* Bayaran penuh harga kenderaan telah dibuat (bagi pembelian tanpa pinjaman).
* Surat Akujanji dari syarikat kewangan dikeluarkan dan bayaran muka telah dijelaskan sepenuhnya.

Untuk tujuan pendaftaran, kemukakan dokumen-dokumen berikut di Jabatan Pengangkutan Jalan :

* Salinan fotokopi kad pengenalan pembeli yang disahkan (dicatatkan perkataan ' untuk tujuan pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan sahaja'.
* 2 salinan JPJ K1 yang telah lengkap diisi dan ditandatangani oleh pembeli.
* Borang pelepasan tanggungan JPJ yang lengkap diisi dan ditandatangani oleh pembeli dan juga ditandatangani oleh seorang saksi.
* Surat jualan dari syarikat pengedar.
* Dokumen perlindungan insurans yang berkuatkuasa yang diisi penuh dengan butir-butir pembeli dan kenderaan.
* Surat tuntutan hak milik dari syarikat kewangan.
* Resit tender nombor pendaftaran (jika ada).
* Untuk mendapatkan pendaftaran segera, pembeli perlu hadir di Jabatan Pengangkutan Jalan.
* Bayaran pendaftaran kereta, cukai jalan dan tuntutan hak milik termasuk dalam harga kenderaan yang diisytiharkan.
* Bayaran tambahan dikenakan bagi kes-kes seperti :
* Penukaran nombor pendaftaran yang melibatkan pengekalan nombor pendaftaran lama kepada kereta baru.

3.Semasa penyerahan kenderaan

Apabila menerima kenderaan baru, sila pastikan :

* Kereta tersebut sempurna dan memuaskan.
* Perkakas dan aksesori lengkap dibekalkan.
* Buku jaminan diisi dan dicop dengan cop syarikat wakil pengedar dan ditandatangani oleh pembeli.
* Borang penyerahan rasmi syarikat pengedar kereta hendaklah ditandatangani oleh pembeli dan wakil syarikat pengedar dan satu salinan disimpan oleh pembeli.
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

Pengguna dan pengeluar memiliki tanggungjawab masing-masing untuk memelihara dan memulihara alam sekitar agar alam sekitar sentiasa bersih daripada sebarang pencemaran. Pengilang harus memastikan proses pengeluaran tidak menjejaskan kualiti alam sekitar. Pengilang harus menggunakan cara pengeluaran yang tidak merosakkan alam sekitar seperti alat penapisan asap pada cerombong asap. pengilang juga harus mencari alternatif terbaik bagi pembuangan sisa sampah supaya tidak menjejaskan alam sekitar.

Pengguna juga bertanggungjawab untuk menjaga alam sekitar dan alam semula jadi. Pengguna bertanggungjawab untuk mengetahui kesan terhadap persekitaran akibat perbuatan mereka. Pengguna harus sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar agar muka bumi dapat dilindungi untuk tatapan generasi akan datang.
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

Sebelum membeli, pengguna berhak memilih barang atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga.

Pengguna perlu memastikan perkara-perkara berikut.

a) Harga barang itu berpatutan

b) Barang dalam keadaan baik

c) Barang selamat digunakan

d) Barang menepati contoh yang diberi atau diiklankan

Hak memilih adalah penting supaya pengguna tidak terburu-buru dalam membuat keputusan membeli.

Penjual tidak berhak memaksa dan membuat keputusan bagi pihak pengguna.

Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan kesihatan dan kehidupan pengguna.
Apakah Yang Harus Diperhatikan Bagi Mengetahui Tentang Keselamatan Produk
Perhatikan Label : Label MS pada peralatan elektrik

1) Adakah ia mempamerkan maklumat tentang standard keselamtan. Contohnya : tanda MS pada peralatan elektrik, nombor MAL pada produk kosmestik dan perubatan, tanda-tanda keselamtan seperti mudah terbakar, mengakis dan sebagainya.
2) Adakah label itu menyatakan bagaimana produk itu harus digunakan. Contohnya : gunakan sarung tangan getah sebelum menggunakannya, cara penyediaan, gunakan di bawah penyeliaan orang dewasa dan sebagainya.
3) Adakah ia menunjukkan bagaimana sesuatu produk itu tidak harus digunakan. Contohnya : jangan didedahkan kepada api, jangan ditelan, jangan digunakan bersama peluntur dan sebagainya.
4) Adakah anda tahu apa yang perlu dilakukan sebelum menggunakan sesuatu produk ?
5) Adakah anda mengikut arahan semasa penggunaan sesuatu produk ?

Berhati-hati Dan Bertimbang Rasa Ke Atas Orang Di Sekeliling Anda :

1) Adakah anda berjaga-jaga memastikan keselamatan orang di sekeliling anda semasa menggunakan produk yang berbahaya? Contohnya : menyembur racun serangga, menggunakan seterika dan sebagainya.

Penjagaan Produk :

1) Adakah anda menjaga produk tersebut? Contohnya : meletakkan sesuatu produk tersebut supaya bekasnya tidak rosak atau berkarat.
2) Adakah anda memeriksa keadaan produk tersebut? Contohnya : untuk kesan penghakisan, kebocoran dan sebagainya.
3) Adakah anda melakukan penyelenggaraan yang sepatutnya? Contohnya : memeriksa tarikh luput ubat-ubatan dan makanan dan memeriksa sama ada kabel peralatan eletrik terdedah.

Meninjau Masalah Tentang Produk
:

1) Adakah anda mengambil usaha untuk mengetahui status keselamatan sesuatu produk itu di pasaran?
2) Adakah anda bertanya kepada peniaga tentang masalah keselamatan sesuatu produk?
3)Adakah anda melaporkan kepada badan-badan pengguna atau sebarang angesi berkaitan tentang sebarang kecederaan atau potensi masalah keselamatan sesuatu produk.

Beberapa Ciri Produk Di Dalam Rumah Yang Berpotensi Menyebabkan Masalah Keselamatan
Bahan Pembersih Rumah
:

1) Pencuci lantai adalah bahan kimia yang berbahaya jika ditelan, kadang-kadang mengakis tangan dan jika dilepaskan dengan banyak ke dalam perairan seperti sungai akan menyebabkan masalah pencemaran sumber air dan bekalan air minum. Beberapa jenis pencuci lantai tidak boleh dicampur dengan peluntur berasaskan klorin. Gas klorin yang terhasil akan mengakis lapisan membran paru-paru dan menyebabkan radang tekak.
2) Pengguna perlu berhati-hati dan mendapatkan maklumat yang betul sebelum membeli dan menggunakan bahan pembersih dan menggunakan dengan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri dan alam sekitar.

Racun Serangga Dan Makhluk Perosak :

1) Racun makhluk perosak mengandungi bahan-bahan yang mempunyai potensi untuk membahayakan pengguna. Sisa-sisa racun juga mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
2) Akta Racun Makhluk Perosak telah menyenaraikan jenis-jenis bahan kimia yang tidak boleh digunakan di Malaysia.

Bateri Untuk Peralatan Elektrik Dan Telekomunikasi :

1) Bateri mengandungi bahan-bahan yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Bateri mengandungi logam berat seperti merkuri, perak dan nikel.
2) Bateri harus dilupuskan secara terkawal dan tidak boleh dibuang ke dalam aliran sampah biasa.

Peralatan Elektrik :

1) Risiko kejutan elektrik. Kabel peralatan elektrik tidak boleh terdedah dan tidak harus bersentuhan dengan benda basah.

Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan’ serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian. Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

Pengguna berhak mendapatkan ganti rugi atas sebab-sebab berikut:


a) barangan yang dibeli tidak berada dalam keadaan baik.
b) barangan yang dibeli mengandungi bahan asing yang boleh membahayakan kesihatan
c) mutu barangan tidak seperti yang dijanjikan atau diiklankan
d) barang yang dibeli memudaratkan kepada pengguna.

Pengguna juga berhak mendapat pampasan jika pengguna ditimpa kemalangan ketika berada di kedai peniaga akibat kecuaian peniaga.

Apa itu Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia?
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ialah satu badan yang telah ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999.

Info Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia:
TTPM ditubuhkan dengan tujuan menyediakan satu saluran alternatif kepada penggguna untuk membuat tuntuan gantirugi yang dialami dalam berurusan dengan pembekal. Tribunal menyediakan perkhidmatan tersebut dengan cara lebih mudah, murah dan cepat jika dibandingkan dengan Mahkamah biasa.

Sungguhpun telah wujud 29 Undang-undang/ Akta yang melindungi pengguna namun ia merupakan suatu perlindungan secara pentadbiran di mana pihak yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di mahkamah dan pengguna yang dianiaya tidak mendapat apa-apa ganti rugi daripadanya dan gantirugi tersebut hanya boleh dituntut melalui proses mahkamah. Kita sedia maklum proses mahkamah memakan masa dan belanja yang tinggi apabila membabitkan peguam dan prosedurnya mungkin dianggap rumit oleh pengguna. Dengan itu, pengguna merasakan adalah tidak menguntungkan malah merugikan apabila membuat tuntutan di mahkamah. Apatah lagi sekiranya kerugian yang dialami itu melibatkan amaun yang kecil.

Dengan tertubuhnya TTPM, pengguna dapat memfailkan tuntutan gantirugi ke atas barangan atau perkhidmatan yang tidak sempurna atau tidak bermutu yang dibekalkan oleh peniaga.