Tuesday, May 18, 2010

Membeli Barangan Mengikut Kemampuan


UMUMNYA semua pernah membeli aset seperti telefon bimbit, peti sejuk, perabot, kenderaan dan rumah. Ada pembelian itu memuaskan dan ada pula mengecewakan. Isunya ialah apakah yang anda boleh buat agar keputusan pembelian menjadi lebih baik dan tepat.

Pertama, anda perlu kenal pasti keperluan sebenar. Sebaik-baiknya ciri spesifikasi keperluan ini ditulis dan disenaraikan dengan jelas. Sebagai contoh, anda mungkin perlukan telefon bimbit untuk sekadar berkomunikasi atau mungkin anda berminat memiliki sesuatu yang istimewa dan ini pun perlu dikenal pasti. Umpamanya, anda mungkin berhajatkan telefon yang boleh mengambil gambar seperti kamera. Berikutnya, keperluan dan kehendak ini perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan.

Kedua, anda perlu mendapatkan maklumat selengkap mungkin mengenai produk atau aset yang hendak dibeli seperti ciri, kos, jangka hayat, selenggaraan, manfaat, kelebihan, kelemahan dan risiko berkaitan. Anda harus bijak dalam usaha mendapatkan maklumat penting ini. Setiap jurujual akan mengatakan produk mereka adalah terbaik. Biasanya mereka yang berpengalaman dan tidak berkepentingan dapat memberikan pandangan yang adil dan tepat mengenai prestasi produk yang hendak dibeli. Sebagai contoh, seorang mekanik tentu boleh memberi maklumat mengenai prestasi kereta yang beliau servis dan baiki. Seorang tukang jahit berpengalaman dapat memaklumkan kelebihan dan kelemahan setiap jenama mesin jahit yang beliau pernah gunakan.

Ketiga, anda perlu membuat kajian kos iaitu kos pembelian dan belanja bulanan. Untuk mendapatkan harga belian yang baik, anda perlu mencari sebut harga daripada beberapa pembekal atau penjual dan mendapatkan tawaran terbaik. Mereka yang bijak merundingkan harga akan berpeluang mendapatkan harga belian terbaik. Harus diingat bahawa kos bulanan perlu mengambil kira kos operasi harian, penyelenggaraan dan susut nilai. Umpamanya jika anda membeli kereta, kos operasi harian ialah kos belanja petrol dan kadar penggunaan petrol adalah faktor penilaian yang kritikal bagi anda yang mempunyai bajet bulanan terhad. Sementara kos selenggaraan ialah belanja servis, tayar dan sebagainya. Ada aset yang harganya rendah tetapi kos selenggaraan tinggi kerana harga alat gantinya mahal. Bahkan kadang-kadang alat gantinya sukar diperoleh.

Susut nilai pula ialah jumlah susutnya nilai aset berkenaan dalam tempoh tertentu sama ada sebulan atau setahun. Sebagai contoh, jika kos belian kereta ialah RM50,000 dan tempoh jangka hayat kereta itu ialah 10 tahun maka anggaran susut nilai setahun ialah RM50,000/10 = RM5,000 setahun. Ada kes sesuatu aset itu mahal tetapi jangka hayatnya panjang, sementara aset lain pula murah tetapi jangka hayatnya pendek. Kesannya, jumlah susut nilai setiap tahun aset pertama lebih kecil dan ini mungkin boleh menjadi pilihan lebih menguntungkan dalam tempoh jangka panjang.

Keempat ialah kajian pulangan dan manfaat yang diperoleh daripada aset. Dari sudut pelaburan, jika anda berbelanja besar tetapi pulangannya jauh lebih besar, maka itu satu keputusan yang baik. Sebuah van mungkin lebih murah daripada bas mini, tetapi pembelian bas mini mungkin lebih menguntungkan jika ia boleh memberi peratus pulangan yang lebih tinggi terhadap jumlah wang yang dilaburkan. Selain daripada manfaat kewangan, anda mungkin mementingkan manfaat seperti nilai astetik dan keselesaan, justeru anda mungkin membeli MPV. Pada asasnya jika kos aset yang hendak dibeli nilainya tinggi, maka wajar untuk kita membuat kajian terperinci supaya pembelian yang dibuat yang terbaik dan tepat dengan keperluan, kehendak dan kemampuan kita.

No comments:

Post a Comment