Tuesday, June 1, 2010

Pengguna Menentukan Harga Barangan di Pasaran


Kita mempunyai hak untuk membeli serta menolak sesuatu barangan atau perkhidmatan yang tidak memuaskan kehendak kita. Oleh itu, para pengguna memainkan peranan penting dalam menentukan harga barangan dan perkhidmatan.

Harga barang-barangan di pasaran ditentukan oleh dua faktor penting, iaitu permintaan dan penawaran. Permintaan barang-barang dipengaruhi oleh para pengguna. Jika terlalu banyak orang membeli sesuatu barang, misalnya kereta Proton Wira, maka permintaan untuk kereta itu akan meningkat. Peningkatan permintaan kereta Proton Wira akan menyebabkan harga pasaran kereta itu naik. Sebaliknya, sesuatu barang yang mempunyai permintaan yang sedikit akan mengakibatkan harga barang itu di pasaran turun. Jadi, pengguna berperanan untuk menentukan permintaan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan. Dengan itu, pengguna berperanan dalam menentukan harga barang-barang di pasaran.

Pengguna juga mempunyai kuasa untuk menaikkan atau menurunkan harga sesuatu barangan. Jikalau banyak orang meminati sesuatu barangan kerana barang tersebut cantik, bermutu tinggi atau mengikut selera pengguna maka pengguna akan memuji-muji tentang keistimewaan barang itu. Lama-kelamaan, lebih banyak orang akan membeli barang tersebut, sama ada kerana ingin mengikut fesyen atau sekadar ingin mencuba barang baru tersebut. Dengan itu, pengguna juga merupakan iklan atau penyebar maklumat yang paling berkesan. Sekiranya, semua orang mengaku kebenaran tentang kebaikan barang tersebut, maka harga barang itu akan meningkat dan permintaan terhadap barang itu akan bertambah. Contohnya, harga baju yang berjenama Orlando, Camel, Crocodile, John Master, dan sebagainya menjadi idaman setiap pengguna walaupun harganya berkali ganda dengan baju jenama lain. Dengan itu, Pengguna mempunyai saham untuk menentukan harga barang-barang di pasaran.

Jika kita melihat tentang pendapatan yang diterima oleh penduduk di negara ini, penduduk Malaysia boleh dikatakan mempunyai taraf hidup yang sederhana. Namun begitu, kita mampu untuk memiliki serba sedikit harta dan barang-barangan yang mewah. Oleh itu, kita mendapati harga barang keperluan harian serta pakaian agak tinggi jika dibandingkan harganya beberapa tahun yang lalu. Harga barang-barang di bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan harganya di kampung atau di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan para pengguna di situ berpendapatan rendah dan mereka tidak mampu untuk membayar harga sesuatu barangan jika harganya terlalu tinggi. Sehubungan itu, daya beli penduduk di sesuatu kawasan dapat mempengaruhi harga barang.

Kebanyakan kita masih jahil tentang hak-hak kita sebagai pengguna. Jika kita mendapati bahawa seseorang peniaga itu menjual sesetengah barangan dengan harga yang terlalu tinggi padahal harganya lebih rendah daripada harga yang ditetapkan, maka pengguna mempunyai hak untuk melaporkan hal itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan. Kita boleh juga melaporkan hal yang sama kepada Persatuan Pengguna. Dengan aduan itu, maka pegawai-pegawai akan ditugaskan untuk menyiasat tentang aduan yang dibuat untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang bersalah, sama ada dengan memberikan teguran atau mengambil tindakan undang-undang.

Pada setiap hari, kita dapat melihat pelbagai bentuk iklan yang disiarkan melalui media elektronik dan media cetak. Banyak iklan disiarkan menjelang cuti persekolahan, menjelang sesuatu perayaan dan sebagaunya. Semua ini adalah untuk mempengaruhi pengguna supaya membeli dan berbelanja dengan boros. Jika pengguna terpengaruh dengan iklan, maka semua orang akan berbelanja pada masa yang sama. Hal ini akan menyebabkan harga barang akan meningkat walaupun itu dikatakan dijual dengan jualan murah. Di sini pentingnya peranan kita sama ada hendak mengikut kehendak penjual atau tidak

No comments:

Post a Comment