Wednesday, May 26, 2010

Tip Disiplinkan Diri


1) Senaraikan semua usaha ke arah pencapaian matlamat anda mengikut keutamaan. Kemudian, pilih lima hingga sepuluh yang teratas dan laksanakan. Anda dikira sudah berdisiplin sekiranya dapat melaksanakan lebih daripada lima langkah yang paling utama.

2) Lekatkan poster, cogankata atau kata-kata yang menjelaskan matlamat anda itu di tempat-tempat yang mudah dilihat. Jangan malu, isytiharkan kepada dunia tentang apa yang anda akan capai. Yang penting, "pengisytiharan" itu akan mendorong anda setiap kali anda melihatnya.

3) Tetapkan apa yang anda ingin lakukan setiap hari. Amalkan perancangan mingguan dan harian yang teratur. Usah biarkan hari-hari berlalu "sepi" tanpa sesuatu pencapaian-pencapaian kecil ke arah pencapaian matlamat besar anda. Ingat, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

4) Setiap perkara penting yang hendak anda laksanakan hendaklah ditulis tarikh akhirnya (dead line). Ini akan memberikan semacam satu kepuasan dan kemenangan apabila tarikh lahir itu berjaya ditepati. Anda akan rasakan matlamat yang dikejar semakin mendekat hari ke hari.

5) Bagi satu tugasan yang terlalu sukar atau membosankan (tetapi sangat penting), elokkan mulakan secara berdikit-dikit. Jangan menunggu kesempurnaan untuk memulakannya kerana ini akan menjerumuskan anda kepada satu keadaan "tidak berbuat apa-apa". Ingatlah, rasa tidak selesa semasa melakukan aktiviti-aktiviti tersebut adalah lebih baik daripada rasa risau, takut dan kesal sekiranya anda tidak melakukannya langsung!

6) Gunakan masa yang paling optimum dalam hidup seharian anda untuk melakukan tugas-tugas yang paling penting. Dan ingat, jangan terus bergelumang ke bahagian-bahagian yang tersukar, sebaliknya mulakan pada bahagian-bahagian yang lebih mudah dahulu. Ini akan memberikan anda semacam satu "momentum" untuk menakluki bahagian-bahagian tersukar dalam tugasan yang paling mencabar.

7) Amalkan dialog diri yang positif. Pandang tinggi diri anda selalu dengan berkata, "Aku boleh. Aku boleh berjaya kerana aku adalah orang yang berdisiplin." Jangan terpengaruh dengan kata-kata negatif sama ada yang datang dari dalam diri anda sendiri atau daripada orang luar yang tidak membina!

8) Janjikan satu masa untuk meraikan kejayaan anda sekiranya anda berjaya melaksanakan tugas-tugas sukar dalam hidaup. Misalnya, menikmati makanan istimewa di tempat-tempat yang anda sukai selepas melaksanakan tugas-tugas besar. Katakan kepada diri, "Sekiranya aku berjaya menyelesaikan tugas ini, aku akan belanja diriku makan "the best nasi Beryani in town....!"

No comments:

Post a Comment