Tuesday, June 1, 2010

Tabiat Merokok


Tabiat merokok bukanlah budaya baru dalam masyarakat kita kerana tabiat merokok sudah menjadi budaya masyarakat dahulu kala, sama ada di negara kita atau di negara-negara lain. Kebanyakan lelaki dewasa zaman dahulu bukan sahaja menghisap rokok, malah mereka juga menghisap cerut dan menghisap paip. Kini, tabiat merokok bukan sahaja meningkat dalam kalangan orang dewasa, tetapi golongan kanak-kanak dan remaja termasuklah dalam kalangan remaja wanita sudah mengamalkan tabiat merokok. Tabiat merokok dikatakan sebagai punca utama kematian di negara-negara Barat. Saban tahun, sekurang-kurangnya 50 ribu orang lelaki dan wanita di United Kingdon mati akibat kesan merokok.

Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kebanyakan penghidap penyakit kanser paru-paru dan serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok. Oleh itu kempen antirokok yang bertemakan "Tak Nak" telah dilancarkan oleh kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Namun begitu, kempen ini tidak membuahkan kejayaan. Oleh sebab kempen ini kurang mencapai matlamatnya, maka usaha lain perlu dilaksanakan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Bagi mencapai tujuan itu, orang ramai perlu didedahkan tentang keburukan amalan merokok terutamanya keburukan dan kesan dari segi kesihatan.

Apakah kesan kepada si perokok?

1) Perokok akan menjadi lemah, tidak cergas, dan sesak nafas kerana asap rokok menjejaskan sistem pernafasan si perokok.
2) Sistem saraf dan jantung si perokok terdedah kepada bahaya kerana didalam rokok terdapat nikotin iaitu dadah yang sangat berbahaya.
3) Rokok menyebabkan denyutan jantung semakin kencang, mengecutkan saluran darah, dan menaikkan tekanan darah.
4) Perokok mudah menghadapi pelbagai penyakit yang menyebabkan kematian.
5) Asap menyebabkan orang yang menghidunya mengalami kesan seperti sakit kepala, sakit kerongkong, sakit mata, pening kepala, dan batuk-batuk.
6) Para remaja akan beralih dengan mudahnya kepada penyalahgunaan dadah. Dikatakan bahawa 100 peratus penagih dadah di Malaysia bermula daripada merokok yang menyebabkan gejala tersebut meningkat setiap tahun.

Langkah untuk berhenti daripada tabiat merokok.


1) Menyediakan senarai tentang keuntungan dan kerugian merokok. berdasarkan senarai itu, kita dapat melihat dan menentukan sama ada kebaikan merokok lebih banyak membawa keburukan atau sebaliknya.
2) Mengira jumlah wang yang dibelanjakan untuk membeli rokok pada setiap minggu dan setiap bulan. Kemudian, kita mengira jumlah wang dibelanjakan dalam tempoh setahun untuk membeli rokok. Dengan itu, kita akan dapat menilai barangan yang dapat dibeli sekiranya wang itu tidak dibelanjakan untuk rokok.
3) Menyediakan jadual sendiri untuk berhenti merokok. Kita perlu mencatat di atas kertas, mengikuti perkara yang dicatatkan, dan menetapkan hari tertentu untuk berhenti rokok selama dua atau tiga minggu sekali.
4) Jangan menyimpan kotak rokok di tempat yang mudah dilihat dan diambil seperti di dalam saku atau di dalam beg.
5) Menghindarkan diri daripada menghisap rokok pada waktu selepas minum teh atau minum kopi.
6) Menyediakan bahan kunyah berkalori rendah seperti sepotong sayuran mentah atau sepotong buah yang dikeringkan. Dengan ini, lama-kelamaan keinginan untuk merokok akan berkurangan.
7) Cara yang terbaik ialah berazam untuk terus berhenti daripada merokok.

2 comments:

  1. Anonymous9:18 PM

    langkah berhenti paling baik guna nombor 7. dulu saya hisap. tapi dah insaf.

    ReplyDelete