Tips Oleh : Irfan Khairi
1) Tak Perlu Kopi dan Rokok!
Tip pertama ni mungkin ramai dah mula mengeluh. Tunggu dulu, biar saya jelaskan! Terdapat satu istilah ini yang dikenali sebagai “The Latte Factor” oleh penulis David Bach yang membawa maksud, setiap hari sebelum anda ke pejabat, boleh tak anda tak perlu singgah ke kedai kopi berjenama untuk secawan kopi (dan rokok)?
Mungkin menjadi tabiat kita untuk singgah sebentar dan berbelanja RM5 setiap hari pada minuman dan rokok sebelum ke pejabat atau ketika waktu rehat pejabat setiap hari. Dengan hanya menjimat RM5 sehari dan melaburkannya di dalam pelaburan yang memberi pulangan 10% setahun, dalam masa 45 tahun, wang tersebut akan menjadi RM1.4juta! katakanlah anda lakukan ini dari umur 20 tahun, anda akan pencen sebagai seorang jutawan!
2) Potong Kad Kredit
Ambil gunting, buka dompet anda, dan potong kad kredit anda. Ya, sememangnya kad kredit amatlah berhantu! Kad itu hanya memerah wang anda dengan mengecaj interest yang amat tinggi, paling tinggi dalam industri kewangan (tidak termasuk along!). Sering kali kad kredit digunakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu dan akibatnya, setiap bulan anda terpaksa membayar interest yang sebenarnya memakan simpanan anda.
Katakan anda membayar Interest kad kredit sahaja dalam lingkungan 18%. Apa makna simpanan anda yang memberi pulangan 10%? Tiada maknanya! Simpanan pelaburan anda tidak akan bertambah sekiranya wang anda "bocor" akibat pembayaran caj-caj kad kredit itu.
3) Jaga Emosi
Siapa kata wanita sahaja yang pandai berbelanja? Lelaki juga tidak kurangnya. Kajian menunjukkan bahawa walaupun wanita lebih kerap berbelanja daripada lelaki, tetapi perbelanjaan lelaki adalah lebih banyak nilainya untuk setiap pembelian.
Jaga emosi kita dalam berbelanja. 90% keputusan belian adalah keputusan emosi. Fahami bahawa semua perniagaan dalam dunia ini akan mengeksploit emosi untuk menarik belian anda. Sering kali belian yang dilakukan adalah tidak diperlukan. Setiap kali anda berdepan dengan keputusan sesuatu belian, ulangkan berkali-kali dalam fikiran anda “Jaga emosi… jaga emosi… jaga emosi!”
4) Pakar Satu Bidang Kewangan
Anda tidak perlu jadi pakar dalam semua perihal kewangan. Anda tidak perlu membaca beratus-ratus buku kewangan untuk berjaya dalam bidang kewangan. Tetapi, anda hanya perlu menjadi pakar dalam satu bidang kewangan sahaja.
Maksudnya, pilih satu bidang kewangan untuk anda dalami. Contoh, mungkn anda minat melabur, maka, jadikan topik pelaburan sebagai bidang anda dalami. Atau mungkin anda minat hartanah, maka jadikan hartanah sebagai bidang anda dalami. Ataupun anda minat perniagaan Internet, maka, baca buku-buku perniagaan Internet.
Dengan mendalami sekurang-kurangnya hanya sesuatu topik kewangan, anda boleh pelajari pelbagai kaedah menggandakan kewangan anda dalam bidang tersebut. Itu sahaja sudah cukup untuk membantu hidup kita lebih mewah.
5) Hutang Yang Bagus
Setiap kali anda berhutang, pastikan ianya adalah hutang yang bagus. Hutang bagus? Bukankah hutang semuanya tidak bagus?
Hutang yang bagus bermaksud hanya berhutang pada perkara2 yang menambah nilai. Contohnya, membeli rumah, kerana nilainya bertambah. Berhutang untuk memulakan perniagaan kerana bakal menambah pendapatan.Berhutang dalam pendidikan juga adalah bagus kerana ia menambah ilmu dan nilai diri kita.
Manakala berhutang untuk melancong, membeli perabot, membeli kereta, pelaburan adalah tidak bagus kerana pulangannya yang tidak seberapa dan nilai barang menjadi susut. Sangat tidak berbaloi!
6) Baca 30 Minit
Kebanyakan kita tidak membaca walaupun satu buku. Sekiranya tidak membaca, bagaimana hendak menambah kepakaran kita?Sekiranya kepakaran tidak bertambah, maka semakin lambatlah gaji kita akan naik disebabkan kurangnya ilmu.
7) Cari kawan baru
Anda akan menjadi seperti kawan anda. Sekiranya anda sering lepak dengan kawan-kawan yang selalu sengkek, selalu pokai, selalu tak berduit, sedar tak sedar, anda juga akan menjadi seperti itu. Apa kata anda buka fikiran untuk mencari kenalan-kenalan baru dikalangan mereka yang berjaya? Bukan abaikan kawan-kawan yang sengkek tadi… Erm…. Mungkin juga boleh abaikan mereka kerana menyusahkan diri anda sahaja!
Dapatkan kawan yang bijak mengendalikan wang. Dapatkan kenalan usahawan berjaya. Dapatkan kawan yang pakar dalam industri anda. Dengan sentiasa berdampingan dengan mereka yang berjaya, anda juga akan turut berjaya kerana kejayaan itu akan berjangkit kepada anda!
8) Jangan Baca Sahaja
Jangan baca sahaja tip-tip kewangan dan tidak lakukan apa apa. Mungkin tip-tip 1 hingga 7 ini anda telah baca sebelum ini, tetapi tabiat manusia sering melewat-lewatkan kerja dan tidak melakukan apa-apa. Mungkin sebelum ini anda telah fikir untuk mengubahkan hidup anda, tetapi, hanya duduk dan biarkan waktu berlalu tanpa sebarang usaha.
Mempunyai ilmu sahaja tanpa mengaplikasikannya adalah kerugian yang amat besar. Jangan sekadar baca sahaja, lakukan sesuatu untuk mengubah hidup anda. Lakukan perkara-perkara yang mudah kerana perkara-perkara yang mudah inilah yang akan membuatkan kita hidup lebih mewah!
No comments:
Post a Comment