.
E-Pengguna
Blog ini bukanlah blog sebuah badan organisasi NGO atau badan kerajaan. Sebaliknya, blog ini diwujudkan bertujuan menyebarkan dan menyalurkan maklumat-maklumat yang berguna berkaitan pengguna di Malaysia. Perbincangan dan pandangan amatlah digalakkan. Anda boleh memberikan pandangan anda menggunakan kotak komen mengikut artikel-artikel.
Anda Pelawat Ke
hit counter


http://i842.photobucket.com/albums/zz342/Akupc/e-penggunaphoto2.png IMAGE-2 IMAGE-3 IMAGE-4 IMAGE-5
------------------------------------------------------------------------------------

Gula Oh Gula


Pada 1 Januari 2010 harga gula telah dinaikkan sebanyak 20 sen satu kilogram ke RM1.65 di Semenanjung Malaysia dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak. Tetapi setelah harga telah dinaikkan 20 sen, hampir satu Malaysia tiada gula. Kenapa ianya berlaku sedemikian? Adakah kerajaan tiada duit untuk membayar RM1.008 Billion subsidi gula untuk tahun ini?

Jika kerajaan tidak membayar subsidi dan harga gula tidak boleh dinaikkan, dimanakah pekilang hendak menjual gula?. Apabila menjual gula di dalam Malaysia tanpa subsidi pekilang akan mengalami kerugian tetapi peruncit dan pemborong tidak akan mengalami kerugian.

Adakah pekilang terpaksa menjual gula ke Thailand kerana harga gula di sana RM 2.50, atau ke Singapura iaitu RM3.05 atau ke Indonesia kerana harga di sana RM3.40 atau tidak pun ke Filipina, negara pengeluar tebu utama dunia kerana harga di sana RM3.62? Atau pekilang sedang mogok? Fikir fikirkanlah.

Berikut ialah krisis gula yang sedang berlaku di dalam Negara.

KUALA LUMPUR: Peniaga runcit sekitar ibu negara masih menghadapi kesukaran mendapatkan stok gula dan mengambil tindakan mencatu jualan barang kawalan berkenaan walaupun Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (PPPBRM) sudah menamatkan boikot jualan barangan kawalan itu.

Tinjauan Berita Harian di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar ibu negara mendapati, tidak banyak perubahan berlaku terhadap masalah kekurangan gula berikutan peniaga masih sukar memperoleh barang kawalan berkenaan daripada pemborong.

Peniaga barangan runcit, Ganesan Muniandy mendakwa masalah kekurangan gula masih berlaku di premisnya setakat ini dan pengguna masih merungut kerana sukar membeli bahan itu.

“Saya sudah minta stok gula dari tiga pemborong, tetapi masing-masing berkata bekalan gula tidak cukup dan saya tidak tahu bila kedai ini boleh menjual gula seperti sedia kala,” katanya.

Penyelia pasar raya KK Supermart, Mohan Dev, berkata pemborong mengenakan syarat supaya membeli barangan lain sebagai pakej mendapatkan gula.

“Jika beli beras, baru kami boleh mendapatkan gula dan bekalan datang sekali dalam sebulan saja, sedangkan permintaan dari pengguna sangat tinggi terutama pengusaha makanan,” katanya.

Pemilik kedai runcit, Abdullah Abu Bakar, berkata kali terakhir kedainya mendapat stok gula pada seminggu lalu dan pemborong hanya membekalkan 20 kilogram gula dan ia habis dijual dalam setengah hari saja.
Penolong Penyelia Pasar Raya Sri Kota, Raymond Gan, berkata pengguna masih boleh mendapatkan gula di premis berkenaan tetapi penjualannya dihadkan dua kilogram untuk seorang pembeli.

Sementara itu, pemilik Pasar Raya Metamorf, Nazilah Rahiman, mahu kerajaan memainkan peranan proaktif dalam menyelesaikan masalah kekurangan gula dengan menyediakan pusat pemborong barangan kawalan.

“Masalah ini akan menjadi lebih rumit terutama menjelang Ramadan akan datang kerana permintaan gula akan meningkat secara drastik,” katanya.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, masalah sama turut berlaku apabila kebanyakan kedai runcit di sekitar bandar raya ini tiada bekalan gula kerana mendakwa tidak dihantar pembekal.

Kebanyakan peniaga mendakwa bekalan gula semakin kritikal sejak dua minggu lalu dan jika menerima bekalan, ia hanya sedikit dan habis dijual tempoh singkat.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd Hilmi Mohd Noor, berkata masalah keputusan bekalan gula berlaku disebabkan orang ramai membuat belian panik, sekali gus menyebabkan pengguna lain tidak dapat membeli bahan berkenaan.

Di GEORGETOWN, peniaga kedai runcit turut mendakwa menghadapi masalah mendapat bekalan gula sehingga menjejaskan perniagaan mereka.

Ahmad Nordin, pemilik OPK Nordin Store di Pulau Tikus, berkata beliau hanya mendapat bekalan 24 kilogram sehari berbanding 48 kilogram sebelum ini.


Menarik? Berkongsilah ;)
I'm reading: Gula Oh GulaAdd To Yahoo Fav This With Technorati Stumble This Add To Del.icio.us Digg This Add To Facebook

Makanan Segera Banyak Keburukan


Makanan proses atau lebih mudah dipanggil makanan segera kurang baik untuk kesihatan. Ini kerana ia mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap diambil, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan.

Tanpa disedari, ia akan mendedahkan seseorang kepada pelbagai penyakit. Antaranya ialah kerosakan gigi, sembelit, obesiti dan tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.
Apakah makanan proses atau manakan segera ini? Makanan proses atau segera adalah komponen makanan yang boleh dimakan terus tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu. la mungkin makanan dalam tin, makanan berasaskan corak pemakanan barat seperti burger dan hot dog, makanan sejuk beku dan sebagainya.

Keperluan kepada makanan segera begini semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa. Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan. Lagi pun makanan segera begini cukup mudah untuk diperolehi . Kunjungi sahaja mana-mana restoran 'fast food', pesan makanan yang digemari dan tidak sampai lima minit hidangan akan sampai terus ke meja.

Bagi makanan dalam tin atau sejuk beku pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, makanan itu dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap. Dalam masa tidak sampai dua minit, makanan boleh terus dijamah. Berbeza dengan cara biasa yang selalu dilakukan, kita mengambil masa tidak kurang setengah jam untuk mulai menanak nasi, menumbuk sambal dan menggoreng ikan.

Makanan segera banyak aditif
Salah satu sebab mengapa makanan segera kurang baik untuk kesihatan ialah kerana kandungan aditifnya yang berlebihan. Aditif adalah bahan kimia yang dicampurkan ke dalam makanan dan ubat-ubatan bagi tujuan meningkatkan kualiti, menambahkan keenakan dan memantapkan kesegaran. Penggunaan aditif sebenarnya bermula sejak ratusan tahun lalu. Aditif yang bertindak sebagai pewarna telah digunakan untuk memberi warna kuning kepada mentega sejak kurun ke-14 lagi.

Contoh lain aditif ialah bahan-bahan campuran yang diberi nama huruf awal "E", seperti E101 (Riboflavin), E123 (Amaranth), E211 (Natrium Benzoate), E249 (Kalium Nitrit), E322 (Lesitin) dan sebagainya. Selain itu, makanan segera ini lazimnya banyak mengandungi perasa seperti monosodium glutamate (MSG). Pada asalnya, bahan ini diasingkan daripada sejenis rumpai laut. Sekarang MSG boleh diperoleh daripada kanji, gula, jagung, tebu atau lobak bit. Kesan sampingan yang sering dikaitkan dengan MSG adalah pelbagai. Tanda-tanda sindrom ini termasuk panas badan di bahagian tengkuk dan belakang tubuh, serta perasaan tertekan di bahagian dada dan muka. Walaupun demikian, kajian saintifik gagal membuktikan bahawa kesemua gangguan-gangguan ini disebabkan secara langsung oleh MSG. Sebaliknya kajian tersebut mendapati kesan sampingan buruk hanya dialami segelintir pengguna yang alah terhadap MSG. Justeru itu MSG tetap dianggap selamat dan sesuai digunakan sebagai aditif makanan.

Lemak Berlebihan
Selain itu, makanan segera sangat terkenal dengan kandungan lemaknya yang berlebihan. Sebagai contoh, sebiji burger mengandungi sebanyak 35% atau mungkin lebih lemak. Manakala, kentang goreng dikatakan lebih baik dari segi khasiat daripada ban yang diperbuat daripada tepung putih halus tetapi ia direndam dalam lemak, biasanya lemak tepu yang menggalakkan penyakit jantung di antara 11 dan 16 g lemak. Bagi keju yang dihiaskan di atas makanan, ia bermakna lebih banyak lemak. Malahan ia bukanlah keju sebenar tetapi cebisan-cebisan keju bercampur garam, gula, pengemuisi, asid laktik, pengawet, pewarna dan bahan penambah lain. Lemak dan garam yang berlebihan pula boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengannya.

Tiada Zat
Ramai yang tidak menyedari bahawa makanan segera hanya mengandungi hanya sedikit kalori dan tiada zat. la mampu mengenyangkan perut dan memberi bahan bakar untuk digunakan oleh tubuh. Bagi kanak-kanak, pengambilan kalori kosong sebagai makanan snek boleh menyebabkan kurang selera terhadap makanan lain yang mempunyai khasiat yang banyak dan sangat diperlukan oleh badan. Kanak-kanak perlu dielakkan memakan makanan yang manis seperti kek, gula-gula dan air sirap, air berkarbonat kerana ia tidak mengandungi kalori. Makanan begini hanya mengisi ruang perut mereka sahaja dan ini menyebabkan mereka menolak manakan berkhasiat lain.

Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:

Burger daging:
Mengandungi 4 gram lemak tulen. la membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.

Ayam goreng:
Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperoleh dari lemak). Banyak garam. la membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.

Kentang goreng:
Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.

Susu kocak;
Susu ini bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemuisi. la juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.

Minuman berasaskan Kola:
Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula. Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanannya kosong.

Garam
Secara purata seseorang itu memeriukan tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji burger boleh mengandungi dua hingga tiga gram garam.

Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Bahan pemanis berkalori rendah aspartam, pernah dilaporkan membawa kesan sampingan mudarat
kepada pengguna. Tetapi pemerhatian berterusan pihak Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat selama lebih sepuluh tahun gagal memperoleh bukti kukuh tentang kesan bahaya bahan ini. Demikian juga halnya dengan sesetengah aditif makanan yang dicampurkan ke dalam makanan ringan untuk kanak-kanak dan remaja.

Serat
Serat terkandung di dalam buah-.buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. la juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses dan ia hampir tidak mengandungi serat. Serat tidak terdapat di dalam burger ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad sahaja yang mengandungi sedikit serat.

Vitamin dan zat galian
Jangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan susu, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun, kandungan semua zat pemakanan ini tidak mencukupi dan terlalu sedikit.

Kesimpulannya, makanan segera bukanlah pilihan makanan yang terbaik kerana kandungannya yang tidak berkhasiat. Sebaliknya, kita semua digalakkan memakan makanan yang segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak lama. Ini lebih menyihatkan dan baik untuk kesihatan manusia dalam jangka masa yang panjang.

Dipetik daripada http://www.kkk.org.my


Menarik? Berkongsilah ;)
I'm reading: Makanan Segera Banyak KeburukanAdd To Yahoo Fav This With Technorati Stumble This Add To Del.icio.us Digg This Add To Facebook

Makanan Halal yang diragui



Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan mengenai makanan halal yg dicampuri babi. Kes yang hangat diperkatakan sekarang ini ialah makanan yang halal seperti bebola ikan, kek ikan dan lain-lain yang dicampur aduk bersama makanan berasaskan daging babi. Walaupun begitu, pihak yang bertanggungjawab telah menyerbu kilang tersebut atas aduan para pengguna. Ini menyebabkan masyarakat mulai ragu akan makanan sama ada dikhuatiri dicampuri babi ataupun tidak. Oleh itu, gunakan kuasa anda sebagai pengguna jika berlaku sebarang keraguan yang timbul kepada makanan, barangan, perkhidmatan dan sebagainya. Ikuti sisipan berita mengenai kes daging babi tersebut.

KL: JUN 11, 2010: Sebahagian besar pekerjanya memakai baju bertanda logo halal, namun amat mengejutkan apabila sebuah syarikat pengeluar makanan dikesan turut menjual produk berasaskan daging babi. Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar.

Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu.

Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah.

“Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.

“Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim.

“Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain,” katanya.

Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan ‘pork ball’ atau bebola babi.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan ‘pork ball’ yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar,” katanya.

Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim. “Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal. “Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam,” katanya.

Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam. “Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi,” katanya.

(Sumber mStar online/AK)


Menarik? Berkongsilah ;)
I'm reading: Makanan Halal yang diraguiAdd To Yahoo Fav This With Technorati Stumble This Add To Del.icio.us Digg This Add To Facebook

Malaysia Bankrap 9 Tahun Lagi


Malaysia menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara sambil menerangkannya kepada rakyat berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Subsidi kini merupakan 54 peratus daripada KDNK negara.

Namun semua cadangan pengurangan subsidi berkenaan belum dilulus atau dipersetujui oleh kerajaan.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Greece, akhirnya," kata Indris merujuk kepada ahli Kesatuan Eropah itu yang hutangnya menyebabkan ketidak-tentuan pasaran antarabangsa.

Rasionalisasi subsidi untuk pertumbuhan nyata

Malaysia membelanjakan 15.3 peratus daripada perbelanjaan persekutuan bagi menampung subsidi pada bajet 2009 yang menyaksikan defisit berada pada peringkat tertingginya dalam dua puluh tahun.

Katanya, Malaysia perlu merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomi, selain menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan.

Menurut Idris, Malaysia juga perlu mengikuti perkembangan terkini arah aliran pengurangan subsidi global.

"Bayangkan, rakyat Somalia sendiri kena bayar harga yang lebih tinggi untuk petrol berbanding rakyat Malaysia," katanya pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Makmal itu yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang hari ini, dilangsungkan bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.

Idris berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan 2009, adalah pada 11 peratus.

Ia, katanya, hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD seperti Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD seperti Switzerland.

"Bil subsidi kerajaan tidak berkekalan, terutama berdasarkan defisit bajet dan hutang kerajaan yang semakin meningkat. Ia lebih tinggi berbanding Indonesia pada 28 peratus dan semakin menghampiri Filipina pada 62 peratus," katanya.

Kaya juga dapat subsidi

Menurut Idris, budaya subsidi mempunyai kesan negatif, dengan subsidi kerap dinikmati mereka yang tidak berhak selain tertakluk kepada ketirisan dan penyalahgunaan dan pada masa yang sama menggalakkan gangguan pasaran selain menggalakkan penggunaan berlebihan hasil daripada lebihan pengeluaran.

Beliau berkata, kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia diagihkan secara asas "menyeluruh".

"Ia diberi kepada setiap orang tanpa mengira paras pendapatan, sebagai contoh, memberi subsidi untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perkhidmatan perubatan, petrol, gula dan minyak masak, selain bantuan kebajikan dan elaun," katanya.

Kerajaan, dalam kerangka kerja merasionalisasikan subsidi, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol dan pada masa yang sama meneruskan subsidi pendidikan, sebagai pelaburan modal insan.

Usaha akan dibuat bagi mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan.

Menurut sumber yang dipetik Reuters, jemaah menteri pada Rabu lalu membincangkan cadangan pengurangan subsidi berkenaan tetapi tiada keputusan dibuat.


Menarik? Berkongsilah ;)
I'm reading: Malaysia Bankrap 9 Tahun LagiAdd To Yahoo Fav This With Technorati Stumble This Add To Del.icio.us Digg This Add To Facebook

Langkah Mudah Menguruskan Penggunaan Wang


Berikut adalah antara 7 langkah mudah dalam menguruskan penggunaan wang anda dalam keadaan terbaik ketika berbelanja.

1: Berbelanja Secara Tunai Sahaja!
Amalan yang terbaik ketika hendak berbelanja adalah dengan menjauhi kad kredit. Anda tidak akan terlebih berbelanja sekiranya anda tidak membawa bersama kad kredit semasa membeli-belah. Tinggalkan sahaja ia di rumah dan jangan sekali-kali membawanya bersama di dalam beg duit ataupun beg tangan. Jika ia bersama anda, kebarangkalian anda untuk swipe adalah tinggi! Faktor anda tidak nampak duit anda keluar ketika membayar inilah yang seringkali menyebabkan anda terlebih dalam berbelanja tanpa anda sedari.

2: Tetapkan Matlamat Jangka Panjang!
Jika anda inginkan kebebasan kewangan dalam jangka masa yang panjang, tetapkanlah satu matlamat di mana anda akan selalu diingatkan untuk tidak berbelanja sesuka hati demi mengejar impian tersebut. Sebagai contoh, anda ingin bebas kewangan dalam masa 5 tahun sahaja lagi, tuliskan matlamat tersebut di atas kertas dan tetapkan satu tarikh berserta jumlah simpanan yang anda inginkan. Letakkan matlamat tersebut di tempat yang anda mudah nampak seperti cermin, peti ais, meja pejabat dan sebagainya. Matlamat ini akan menjadi pengawal kepada tingkah laku anda untuk berbelanja. Baca matlamat ini setiap hari.

3: Bezakan Antara Keperluan Dan Kehendak!
Adakah beg tangan atau kasut baru menjadi tarikan kepada anda semata-mata atau anda betul-betul memerlukannya? Sebelum anda membuat sebarang keputusan untuk memiliki beg tangan atau kasut baru tersebut, lebih baik anda berfikir seketika. Jika ia adalah keperluan dan berada dalam lingkungan bajet anda, teruskan untuk membuat pembelian. Jika ia hanyalah kehendak anda, fikirkanlah kesan selepas anda membuat pembeliannya. Adakah anda gembira jika dapat memilikinya ataupun anda sekadar ingin penuhkan wardrob. Atau adakah anda betul-betul mampu untuk memilikinya? Sekiranya masih ada lagi keperluan lain yang perlu dipenuhi, pertimbangkanlah untuk memiliki beg tangan ataupun kasut baru itu tadi. Perkara paling utama dalam berbelanja adalah anda perlu jujur kepada diri sendiri dan berani untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang tidak mendesak anda untuk memilikinya buat masa sekarang.

4: Berbelanjalah Dengan Senarai Perkara Yang Diperlukan!
Perkara yang paling mudah dan selalunya diabaikan ketika ke luar berbelanja adalah dengan menulis senarai barangan yang diperlukan. Bila kita tidak mempunyai senarai barangan yang diperlukan, daripada ingin membeli satu barang sahaja maka tanpa disedari kita sudah terlebih berbelanja. Mula-mula nak beli lampin anak, jalan selangkah ada tawaran syampu, promosi kopi, tudung murah dan sebagainya. Akhirnya daripada membeli lampin sahaja, beg plastik yang ringan menjadi berat. Tetapkan apa barangan yang perlu dibeli sahaja, jika anda tergoda untuk membeli selain daripada senarai, masukkan barangan tersebut dalam senarai pembelian yang akan datang.

5: Berikan Peruntukan Untuk Diri Anda Sendiri!
Memang tidak dapat dinafikan sama sekali sifat setiap individu inginkan sesuatu yang baru selepas penat lelah bekerja selama sebulan. Lihat kembali kepada bajet anda, fikirkanlah berapa banyakkah yang mampu anda gunakan untuk tujuan tersebut. Sebagai contoh anda peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk membeli baju atau menonton wayang dan sebagainya. Berbelanjalah dalam tempoh sebulan tersebut dengan peruntukan tadi. Bilamana peruntukkan tersebut habis, berhentilah berbelanja! Tiada pengecualian dalam kes ini. Anda tidak dibenarkan sama sekali untuk berbelanja lebih daripada yang diperuntukkan.

6: Carilah Teman Untuk Keluar Berbelanja!
Jika anda seorang yang cepat dan mudah tertawan dengan promosi daripada jurujual, anda dinasihatkan untuk mencari seorang teman samada daripada rakan-rakan ataupun keluarga yang mampu untuk berkata tidak kepada sebarang tawaran yang di luar kawalan anda. Anda hanya dibolehkan ke luar berbelanja dengan syarat membawa mereka bersama, jika tidak jangan sekali-kali memberanikan diri keluar keseorangan, bimbang anda akan terjebak dengan kes terlebih berbelanja.

7: Meninjau Terlebih Dahulu Pilihan Anda!
Perkara yang terbaik sebelum anda membuat senarai barangan untuk berbelanja adalah dengan meninjau terlebih dahulu harganya. Dengan adanya teknologi internet, anda bolehlah menyemak senarai harga di laman web yang berkenaan dan membuat perbandingan harga. Buat ulangkaji harga terlebih dahulu sehingga anda betul-betul yakin dan mendapat harga yang terbaik.


Menarik? Berkongsilah ;)
I'm reading: Langkah Mudah Menguruskan Penggunaan WangAdd To Yahoo Fav This With Technorati Stumble This Add To Del.icio.us Digg This Add To Facebook