Friday, June 18, 2010



Rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan mengenai makanan halal yg dicampuri babi. Kes yang hangat diperkatakan sekarang ini ialah makanan yang halal seperti bebola ikan, kek ikan dan lain-lain yang dicampur aduk bersama makanan berasaskan daging babi. Walaupun begitu, pihak yang bertanggungjawab telah menyerbu kilang tersebut atas aduan para pengguna. Ini menyebabkan masyarakat mulai ragu akan makanan sama ada dikhuatiri dicampuri babi ataupun tidak. Oleh itu, gunakan kuasa anda sebagai pengguna jika berlaku sebarang keraguan yang timbul kepada makanan, barangan, perkhidmatan dan sebagainya. Ikuti sisipan berita mengenai kes daging babi tersebut.

KL: JUN 11, 2010: Sebahagian besar pekerjanya memakai baju bertanda logo halal, namun amat mengejutkan apabila sebuah syarikat pengeluar makanan dikesan turut menjual produk berasaskan daging babi. Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar.

Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu.

Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah.

“Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.

“Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim.

“Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain,” katanya.

Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan ‘pork ball’ atau bebola babi.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan ‘pork ball’ yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar,” katanya.

Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim. “Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal. “Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam,” katanya.

Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam. “Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi,” katanya.

(Sumber mStar online/AK)

Tuesday, June 8, 2010


Malaysia menghadapi risiko menjadi negara Greece kecuali rakyatnya menelan hakikat pahit bahawa pengurangan subsidi akan menyaksikan harga petrol, makanan, elektrik dan beberapa barang keperluan tidak dapat dielakkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) - sebuah badan yang ditubuhkan bagi mengurangkan bebanan subsidi negara sambil menerangkannya kepada rakyat berkata hutang negara akan meningkat 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun 2019 jika pemberian subsidi diteruskan.

Subsidi kini merupakan 54 peratus daripada KDNK negara.

Namun semua cadangan pengurangan subsidi berkenaan belum dilulus atau dipersetujui oleh kerajaan.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Greece, akhirnya," kata Indris merujuk kepada ahli Kesatuan Eropah itu yang hutangnya menyebabkan ketidak-tentuan pasaran antarabangsa.

Rasionalisasi subsidi untuk pertumbuhan nyata

Malaysia membelanjakan 15.3 peratus daripada perbelanjaan persekutuan bagi menampung subsidi pada bajet 2009 yang menyaksikan defisit berada pada peringkat tertingginya dalam dua puluh tahun.

Katanya, Malaysia perlu merasionalisasikan subsidi untuk bergerak ke depan secara lebih ekonomi, selain menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan penggunaan.

Menurut Idris, Malaysia juga perlu mengikuti perkembangan terkini arah aliran pengurangan subsidi global.

"Bayangkan, rakyat Somalia sendiri kena bayar harga yang lebih tinggi untuk petrol berbanding rakyat Malaysia," katanya pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Makmal itu yang dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang hari ini, dilangsungkan bagi mendapat cadangan dan maklum balas daripada orang ramai mengenai rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.

Idris berkata, mengikut perangkaan daripada Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), perbelanjaan subsidi Malaysia berdasarkan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal antara 2006 dan 2009, adalah pada 11 peratus.

Ia, katanya, hampir tiga kali ganda berbanding negara bukan OECD seperti Filipina dan 55 kali lebih tinggi berbanding negara OECD seperti Switzerland.

"Bil subsidi kerajaan tidak berkekalan, terutama berdasarkan defisit bajet dan hutang kerajaan yang semakin meningkat. Ia lebih tinggi berbanding Indonesia pada 28 peratus dan semakin menghampiri Filipina pada 62 peratus," katanya.

Kaya juga dapat subsidi

Menurut Idris, budaya subsidi mempunyai kesan negatif, dengan subsidi kerap dinikmati mereka yang tidak berhak selain tertakluk kepada ketirisan dan penyalahgunaan dan pada masa yang sama menggalakkan gangguan pasaran selain menggalakkan penggunaan berlebihan hasil daripada lebihan pengeluaran.

Beliau berkata, kira-kira 97 peratus daripada subsidi Malaysia diagihkan secara asas "menyeluruh".

"Ia diberi kepada setiap orang tanpa mengira paras pendapatan, sebagai contoh, memberi subsidi untuk pendidikan rendah, menengah dan tinggi, perkhidmatan perubatan, petrol, gula dan minyak masak, selain bantuan kebajikan dan elaun," katanya.

Kerajaan, dalam kerangka kerja merasionalisasikan subsidi, antara lain akan memberi tumpuan terhadap barangan utama bagi mencapai penjimatan yang lebih besar seperti bahan api, gas dan tol dan pada masa yang sama meneruskan subsidi pendidikan, sebagai pelaburan modal insan.

Usaha akan dibuat bagi mengurangkan pembaziran dan penyalahgunaan.

Menurut sumber yang dipetik Reuters, jemaah menteri pada Rabu lalu membincangkan cadangan pengurangan subsidi berkenaan tetapi tiada keputusan dibuat.

Berikut adalah antara 7 langkah mudah dalam menguruskan penggunaan wang anda dalam keadaan terbaik ketika berbelanja.

1: Berbelanja Secara Tunai Sahaja!
Amalan yang terbaik ketika hendak berbelanja adalah dengan menjauhi kad kredit. Anda tidak akan terlebih berbelanja sekiranya anda tidak membawa bersama kad kredit semasa membeli-belah. Tinggalkan sahaja ia di rumah dan jangan sekali-kali membawanya bersama di dalam beg duit ataupun beg tangan. Jika ia bersama anda, kebarangkalian anda untuk swipe adalah tinggi! Faktor anda tidak nampak duit anda keluar ketika membayar inilah yang seringkali menyebabkan anda terlebih dalam berbelanja tanpa anda sedari.

2: Tetapkan Matlamat Jangka Panjang!
Jika anda inginkan kebebasan kewangan dalam jangka masa yang panjang, tetapkanlah satu matlamat di mana anda akan selalu diingatkan untuk tidak berbelanja sesuka hati demi mengejar impian tersebut. Sebagai contoh, anda ingin bebas kewangan dalam masa 5 tahun sahaja lagi, tuliskan matlamat tersebut di atas kertas dan tetapkan satu tarikh berserta jumlah simpanan yang anda inginkan. Letakkan matlamat tersebut di tempat yang anda mudah nampak seperti cermin, peti ais, meja pejabat dan sebagainya. Matlamat ini akan menjadi pengawal kepada tingkah laku anda untuk berbelanja. Baca matlamat ini setiap hari.

3: Bezakan Antara Keperluan Dan Kehendak!
Adakah beg tangan atau kasut baru menjadi tarikan kepada anda semata-mata atau anda betul-betul memerlukannya? Sebelum anda membuat sebarang keputusan untuk memiliki beg tangan atau kasut baru tersebut, lebih baik anda berfikir seketika. Jika ia adalah keperluan dan berada dalam lingkungan bajet anda, teruskan untuk membuat pembelian. Jika ia hanyalah kehendak anda, fikirkanlah kesan selepas anda membuat pembeliannya. Adakah anda gembira jika dapat memilikinya ataupun anda sekadar ingin penuhkan wardrob. Atau adakah anda betul-betul mampu untuk memilikinya? Sekiranya masih ada lagi keperluan lain yang perlu dipenuhi, pertimbangkanlah untuk memiliki beg tangan ataupun kasut baru itu tadi. Perkara paling utama dalam berbelanja adalah anda perlu jujur kepada diri sendiri dan berani untuk mengatakan tidak kepada perkara-perkara yang tidak mendesak anda untuk memilikinya buat masa sekarang.

4: Berbelanjalah Dengan Senarai Perkara Yang Diperlukan!
Perkara yang paling mudah dan selalunya diabaikan ketika ke luar berbelanja adalah dengan menulis senarai barangan yang diperlukan. Bila kita tidak mempunyai senarai barangan yang diperlukan, daripada ingin membeli satu barang sahaja maka tanpa disedari kita sudah terlebih berbelanja. Mula-mula nak beli lampin anak, jalan selangkah ada tawaran syampu, promosi kopi, tudung murah dan sebagainya. Akhirnya daripada membeli lampin sahaja, beg plastik yang ringan menjadi berat. Tetapkan apa barangan yang perlu dibeli sahaja, jika anda tergoda untuk membeli selain daripada senarai, masukkan barangan tersebut dalam senarai pembelian yang akan datang.

5: Berikan Peruntukan Untuk Diri Anda Sendiri!
Memang tidak dapat dinafikan sama sekali sifat setiap individu inginkan sesuatu yang baru selepas penat lelah bekerja selama sebulan. Lihat kembali kepada bajet anda, fikirkanlah berapa banyakkah yang mampu anda gunakan untuk tujuan tersebut. Sebagai contoh anda peruntukkan sebanyak RM200 sebulan untuk membeli baju atau menonton wayang dan sebagainya. Berbelanjalah dalam tempoh sebulan tersebut dengan peruntukan tadi. Bilamana peruntukkan tersebut habis, berhentilah berbelanja! Tiada pengecualian dalam kes ini. Anda tidak dibenarkan sama sekali untuk berbelanja lebih daripada yang diperuntukkan.

6: Carilah Teman Untuk Keluar Berbelanja!
Jika anda seorang yang cepat dan mudah tertawan dengan promosi daripada jurujual, anda dinasihatkan untuk mencari seorang teman samada daripada rakan-rakan ataupun keluarga yang mampu untuk berkata tidak kepada sebarang tawaran yang di luar kawalan anda. Anda hanya dibolehkan ke luar berbelanja dengan syarat membawa mereka bersama, jika tidak jangan sekali-kali memberanikan diri keluar keseorangan, bimbang anda akan terjebak dengan kes terlebih berbelanja.

7: Meninjau Terlebih Dahulu Pilihan Anda!
Perkara yang terbaik sebelum anda membuat senarai barangan untuk berbelanja adalah dengan meninjau terlebih dahulu harganya. Dengan adanya teknologi internet, anda bolehlah menyemak senarai harga di laman web yang berkenaan dan membuat perbandingan harga. Buat ulangkaji harga terlebih dahulu sehingga anda betul-betul yakin dan mendapat harga yang terbaik.

Tuesday, June 1, 2010


Tabiat merokok bukanlah budaya baru dalam masyarakat kita kerana tabiat merokok sudah menjadi budaya masyarakat dahulu kala, sama ada di negara kita atau di negara-negara lain. Kebanyakan lelaki dewasa zaman dahulu bukan sahaja menghisap rokok, malah mereka juga menghisap cerut dan menghisap paip. Kini, tabiat merokok bukan sahaja meningkat dalam kalangan orang dewasa, tetapi golongan kanak-kanak dan remaja termasuklah dalam kalangan remaja wanita sudah mengamalkan tabiat merokok. Tabiat merokok dikatakan sebagai punca utama kematian di negara-negara Barat. Saban tahun, sekurang-kurangnya 50 ribu orang lelaki dan wanita di United Kingdon mati akibat kesan merokok.

Kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kebanyakan penghidap penyakit kanser paru-paru dan serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok. Oleh itu kempen antirokok yang bertemakan "Tak Nak" telah dilancarkan oleh kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Namun begitu, kempen ini tidak membuahkan kejayaan. Oleh sebab kempen ini kurang mencapai matlamatnya, maka usaha lain perlu dilaksanakan untuk mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Bagi mencapai tujuan itu, orang ramai perlu didedahkan tentang keburukan amalan merokok terutamanya keburukan dan kesan dari segi kesihatan.

Apakah kesan kepada si perokok?

1) Perokok akan menjadi lemah, tidak cergas, dan sesak nafas kerana asap rokok menjejaskan sistem pernafasan si perokok.
2) Sistem saraf dan jantung si perokok terdedah kepada bahaya kerana didalam rokok terdapat nikotin iaitu dadah yang sangat berbahaya.
3) Rokok menyebabkan denyutan jantung semakin kencang, mengecutkan saluran darah, dan menaikkan tekanan darah.
4) Perokok mudah menghadapi pelbagai penyakit yang menyebabkan kematian.
5) Asap menyebabkan orang yang menghidunya mengalami kesan seperti sakit kepala, sakit kerongkong, sakit mata, pening kepala, dan batuk-batuk.
6) Para remaja akan beralih dengan mudahnya kepada penyalahgunaan dadah. Dikatakan bahawa 100 peratus penagih dadah di Malaysia bermula daripada merokok yang menyebabkan gejala tersebut meningkat setiap tahun.

Langkah untuk berhenti daripada tabiat merokok.


1) Menyediakan senarai tentang keuntungan dan kerugian merokok. berdasarkan senarai itu, kita dapat melihat dan menentukan sama ada kebaikan merokok lebih banyak membawa keburukan atau sebaliknya.
2) Mengira jumlah wang yang dibelanjakan untuk membeli rokok pada setiap minggu dan setiap bulan. Kemudian, kita mengira jumlah wang dibelanjakan dalam tempoh setahun untuk membeli rokok. Dengan itu, kita akan dapat menilai barangan yang dapat dibeli sekiranya wang itu tidak dibelanjakan untuk rokok.
3) Menyediakan jadual sendiri untuk berhenti merokok. Kita perlu mencatat di atas kertas, mengikuti perkara yang dicatatkan, dan menetapkan hari tertentu untuk berhenti rokok selama dua atau tiga minggu sekali.
4) Jangan menyimpan kotak rokok di tempat yang mudah dilihat dan diambil seperti di dalam saku atau di dalam beg.
5) Menghindarkan diri daripada menghisap rokok pada waktu selepas minum teh atau minum kopi.
6) Menyediakan bahan kunyah berkalori rendah seperti sepotong sayuran mentah atau sepotong buah yang dikeringkan. Dengan ini, lama-kelamaan keinginan untuk merokok akan berkurangan.
7) Cara yang terbaik ialah berazam untuk terus berhenti daripada merokok.

Kita mempunyai hak untuk membeli serta menolak sesuatu barangan atau perkhidmatan yang tidak memuaskan kehendak kita. Oleh itu, para pengguna memainkan peranan penting dalam menentukan harga barangan dan perkhidmatan.

Harga barang-barangan di pasaran ditentukan oleh dua faktor penting, iaitu permintaan dan penawaran. Permintaan barang-barang dipengaruhi oleh para pengguna. Jika terlalu banyak orang membeli sesuatu barang, misalnya kereta Proton Wira, maka permintaan untuk kereta itu akan meningkat. Peningkatan permintaan kereta Proton Wira akan menyebabkan harga pasaran kereta itu naik. Sebaliknya, sesuatu barang yang mempunyai permintaan yang sedikit akan mengakibatkan harga barang itu di pasaran turun. Jadi, pengguna berperanan untuk menentukan permintaan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan. Dengan itu, pengguna berperanan dalam menentukan harga barang-barang di pasaran.

Pengguna juga mempunyai kuasa untuk menaikkan atau menurunkan harga sesuatu barangan. Jikalau banyak orang meminati sesuatu barangan kerana barang tersebut cantik, bermutu tinggi atau mengikut selera pengguna maka pengguna akan memuji-muji tentang keistimewaan barang itu. Lama-kelamaan, lebih banyak orang akan membeli barang tersebut, sama ada kerana ingin mengikut fesyen atau sekadar ingin mencuba barang baru tersebut. Dengan itu, pengguna juga merupakan iklan atau penyebar maklumat yang paling berkesan. Sekiranya, semua orang mengaku kebenaran tentang kebaikan barang tersebut, maka harga barang itu akan meningkat dan permintaan terhadap barang itu akan bertambah. Contohnya, harga baju yang berjenama Orlando, Camel, Crocodile, John Master, dan sebagainya menjadi idaman setiap pengguna walaupun harganya berkali ganda dengan baju jenama lain. Dengan itu, Pengguna mempunyai saham untuk menentukan harga barang-barang di pasaran.

Jika kita melihat tentang pendapatan yang diterima oleh penduduk di negara ini, penduduk Malaysia boleh dikatakan mempunyai taraf hidup yang sederhana. Namun begitu, kita mampu untuk memiliki serba sedikit harta dan barang-barangan yang mewah. Oleh itu, kita mendapati harga barang keperluan harian serta pakaian agak tinggi jika dibandingkan harganya beberapa tahun yang lalu. Harga barang-barang di bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan harganya di kampung atau di kawasan pedalaman. Hal ini disebabkan para pengguna di situ berpendapatan rendah dan mereka tidak mampu untuk membayar harga sesuatu barangan jika harganya terlalu tinggi. Sehubungan itu, daya beli penduduk di sesuatu kawasan dapat mempengaruhi harga barang.

Kebanyakan kita masih jahil tentang hak-hak kita sebagai pengguna. Jika kita mendapati bahawa seseorang peniaga itu menjual sesetengah barangan dengan harga yang terlalu tinggi padahal harganya lebih rendah daripada harga yang ditetapkan, maka pengguna mempunyai hak untuk melaporkan hal itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan. Kita boleh juga melaporkan hal yang sama kepada Persatuan Pengguna. Dengan aduan itu, maka pegawai-pegawai akan ditugaskan untuk menyiasat tentang aduan yang dibuat untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang bersalah, sama ada dengan memberikan teguran atau mengambil tindakan undang-undang.

Pada setiap hari, kita dapat melihat pelbagai bentuk iklan yang disiarkan melalui media elektronik dan media cetak. Banyak iklan disiarkan menjelang cuti persekolahan, menjelang sesuatu perayaan dan sebagaunya. Semua ini adalah untuk mempengaruhi pengguna supaya membeli dan berbelanja dengan boros. Jika pengguna terpengaruh dengan iklan, maka semua orang akan berbelanja pada masa yang sama. Hal ini akan menyebabkan harga barang akan meningkat walaupun itu dikatakan dijual dengan jualan murah. Di sini pentingnya peranan kita sama ada hendak mengikut kehendak penjual atau tidak